ROSBERG (kanan) bergambar bersama peminat sebelum perlumbaan.
ROSBERG (kanan) bergambar bersama peminat sebelum perlumbaan.
AFP

Budapest: Pelanggaran dialami Lewis Hamilton dimanfaatkan sepenuhnya Nico Rosberg untuk mencatat masa terpantas buat Mercedes pada sesi latihan bebas kedua semalam untuk Grand Prix Hungary hujung minggu ini.

Pelumba Jerman berusia 31 tahun itu yang sebelumnya menandatangani kontrak baru dua tahun untuk kekal bersama Mercedes mencatat masa pusingan terpantas 1 minit 20.435 saat pada hari sibuk di Hungaroring.

Ia sudah cukup untuknya mendahului separuh saat berbanding pencabar terdekatnya Daniel Ricciardo yang memandu Red Bull dan 0.9s lebih pantas daripada juara empat kali Sebastian Vettel dari Ferrari.

Pelumba remaja Belanda Max Verstappen mencatat masa keempat terpantas dengan memandu kereta Red Bull kedua manakala Hamilton kelima biarpun dia tidak memandu menggunakan tayar super lembut sepanjang 14 minit di trek pada permulaan sesi 90 minit itu.

Juara dunia tiga kali itu hilang kawalan pada bahagian belakang keretanya pada selekoh ke-11 di litar yang berliku dan menghentam tebing jalan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 9:35 AM