HONDA (kanan) bergambar bersama kelab barunya Pachuca.
HONDA (kanan) bergambar bersama kelab barunya Pachuca.

Pachuca, Mexico: Bintang Jepun, Keisuke Honda mengejutkan wartawan dengan bertutur bahasa Sepanyol sebaik membuat penampilan sulung untuk sidang media bersama kelab barunya di Mexico, Pachuca.

Pemain berusia 31 tahun itu yang menyertai kelab divisyen satu Mexico minggu lalu selepas tiga tahun bersama AC Milan membuat wartawan sukan yang membuat liputan mengenai ketibaannya di Mexico kagum apabila menyambut mereka dengan menyapa “Hola a todos” (hello semua).

“Seronok bertemu anda. Saya gembira berada di sini,” katanya.

“Saya membuat persiapan bertutur bahasa Sepanyol semalam. Harap anda tidak bertutur bahasa Sepanyol terlalu pantas.”

Honda, yang begitu dikenali dengan gaya rambut perangnya melakar populariti apabila membantu Jepun mara ke kelompok 16 terakhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Dia juga pemain Jepun pertama beraksi di kelab divisyen satu Mexico.

Perpindahan ke Mexico menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya selepas kempen mengecewakan di Itali.

Kelab Turki, Galatasaray dan beberapa kelab MLS termasuk LA Galaxy, turut dilaporkan berminat terhadapnya.

Pachuca yang ditubuhkan pada 1901, menjadikannya antara kelab tertua di Amerika Selatan, menjulang gelaran utama di Mexico sebanyak enam kali. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 11:28 AM