HAFIZUDDIN. FOTO Owee Ah Chun
HAFIZUDDIN. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penjaga gol skuad hoki lelaki negara, Hafizuddin Othman berharap sesi latihan selama seminggu di Kuantan dapat memikat hati ketua jurulatih, Roelant Oltmans bagi membolehkannya beraksi pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dari 23 hingga 30 Mac ini.

Jelas Hafizuddin, sejak Oltmans membimbing Malaysian Tigers, Oktober tahun lalu, dia belum pernah terpilih untuk membarisi skuad negara.

“Saya memang berharap dapat terpilih kali ini. Tapi saya juga berasa bimbang kerana saingan untuk merebut tempat di Piala Sultan Azlan Shah sungguh sengit.

“Sebab selain Hairi (Rahman), saya juga perlu bersaing dengan Zaimi (Mat Deris).

“Berbanding mereka, saya kurang bermain di saingan liga,” katanya yang beraksi bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Ketiadaan S Kumar yang terpaksa berehat panjang kerana kecederaan paha menyaksikan perebutan untuk dua posisi penjaga gol membabitkan Hairul, Hafizuddin dan Zaimi.

Ini kali kedua berturut-turut Kumar tidak dapat beraksi pada kejohanan jemputan tertua itu selepas memenuhi hukuman doping tahun lalu.

Oltmans dijangka mengumumkan senarai 18 pemain terbaik untuk Piala Azlan Shah hari ini sebelum mereka berlepas ke Ipoh esok.

Selain skuad negara, lima lagi pasukan yang beraksi pada edisi kali ini adalah Kanada, India, Jepun, Korea Selatan dan Poland yang menggantikan Afrika Selatan pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:01 AM