Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen (gambar tengah) menyifatkan tiga aksi pemanas badan sebelum perlawanan sulung menentang pasukan ranking pertama dunia Argentina pada peringkat Kumpulan A Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 16 Jun ini, sebagai sangat penting.

Ini kerana, menerusi tiga perlawanan persahabatan itu, skuad negara yang berlepas kelmarin, diharap dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan suasana pertandingan di London.

Ketiga-tiga perlawanan pemanas badan itu membabitkan pertemuan dengan pasukan pembangunan England hari ini sebelum bertemu Wales (Ahad) dan Kanada (Selasa).

“Keputusan perlawanan pemanas badan itu tidak begitu penting. Tapi apa yang saya mahukan persembahan yang baik bagi meningkatkan tahap keyakinan sebelum kita turun untuk perlawanan pertama.

“Kami mungkin tidak beraksi dalam tempoh masa penuh kerana yang penting adalah untuk melihat kelemahan dan memperbaikinya,” katanya.

Stephen berkata, beliau juga berasa lega kerana tidak berdepan sebarang masalah kecederaan pemain sekali gus hadir di London dengan skuad lengkap.

“Mereka semua tahu betapa pentingnya saingan ini untuk layak ke Piala Dunia 2018 terutama mereka yang pernah beraksi di kejohanan sama pada 2014.

“Bagi pemain muda pula, sudah tentu mereka juga mengimpikan untuk beraksi di Piala Dunia,” katanya.

Selain Argentina, skuad negara diletakkan bersama-sama England, Korea Selatan dan China pada saingan peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:26 AM