ANTARA pekerja warga asing yang ditahan anggota penguat kuasa ketika serbuan CIDB di tapak pembinaan solar di Gambang, semalam. FOTO Zulkepli Osman
ANTARA pekerja warga asing yang ditahan anggota penguat kuasa ketika serbuan CIDB di tapak pembinaan solar di Gambang, semalam. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Pelbagai alasan seperti tidak mengetahui keperluan memiliki Kad Personel Binaan dan kad hilang diberikan pekerja warga asing untuk menagih simpati pegawai dan anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pahang.

Bagaimanapun, taktik itu tidak berhasil apabila 65 pekerja warga asing dikompaun kerana tidak memiliki kad itu dalam operasi yang dijalankan di tapak pembinaan solar di Gambang di sini, semalam.

Pengarah CIDB Pahang, Saini Saidi berkata, turut dikompaun lapan pekerja asing kerana tidak memperbaharui kad personel binaan yang sudah tamat tempoh.

“Kami memeriksa 114 pekerja asing, dengan majoritinya pekerja warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati lebih separuh pekerja tidak memiliki kad personel binaan yang dikeluarkan CIDB.

“Hanya 41 pekerja yang memiliki kad ini tetapi ada tiga kad yang kita kesan palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di sini, semalam.

SAINI memeriksa  Kad Personel Binaan warg asing. FOTO Zulkepli Osman
SAINI memeriksa Kad Personel Binaan warg asing. FOTO Zulkepli Osman

Beliau berkata, mereka dikompaun mengikut Seksyen 33 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994.

Kad Personel Binaan atau dikenali kad hijau dikeluarkan CIDB kepada pekerja yang terbabit dalam industri pembinaan. Kad itu boleh dimohon pekerja atau majikan dengan caj RM50 untuk dua tahun.

Harian Metro difahamkan, ketika serbuan dijalankan majikan kepada pekerja asing serta pengurus tapak projek pembinaan turut dimaklumkan bagi memberi keterangan dan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Saini berkata, operasi bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 1 tengah hari itu dijalankan bagi mengesan majikan dan pekerja yang didapati melanggar peraturan ditetapkan CIDB.

“Kami juga mengesan satu kontraktor tidak berdaftar dan tidak mengisytiharkan projek dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan kerana ia berpangkalan di China,” katanya.

DOKUMEN warga asing diperiksa ketika serbuan. FOTO Zulkepli Osman
DOKUMEN warga asing diperiksa ketika serbuan. FOTO Zulkepli Osman

Katanya, operasi disertai 10 agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kesihatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, operasi juga memberi fokus kepada beberapa kesalahan seperti tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen turut menangkap 108 pekerja asing atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah, salah guna pas bekerja dan permit kerja palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:08 AM