myMetro

TAN Cheng Hoe (gambar) bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung kedudukan ketua jurulatih Harimau Malaya yang masih belum diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas pengendali Kedah itu ketika ditanya kemungkinan untuk mengetuai Harimau Malaya sementara waktu sekiranya FAM masih belum menemui calon sesuai menjelaskan beliau tidak boleh mengulas lanjut, cuma akan mengikut semua arahan yang diberikan kepadanya.

Masa semakin suntuk untuk persediaan skuad senior negara bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara yang hanya berbaki sebulan lagi.

“Saya serahkan semuanya kepada FAM namun Tunku Presiden sudah memaklumkan akan melantik ketua jurulatih baru dalam masa terdekat.

“Saya sedia mengikut arahan yang diberikan,” kata ketika ditanya berhubung kemungkinan beliau akan mengetuai sementara Harimau Malaya.

Terbaru nama Ulisses Morais dari Portugal dikaitkan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee selepas FAM memberikan tugas kepadanya untuk membimbing skuad Bawah 22 (B-22).

“Saya tidak pasti siapa sebenarnya calon dalam pertimbangan FAM. Cuma saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja yang dibawa,” jelasnya.

Cheng Hoe dijadual kembali ke Wisma FAM sebagai penolong jurulatih negara selepas membuat keputusan meninggalkan Kedah.

Beliau bukanlah nama asing dalam bola sepak kebangsaan apabila pernah membantu Datuk K Rajagobal memastikan emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:48 AM