DR Mohd Alif ketika menerima PhD pertama.
DR Mohd Alif ketika menerima PhD pertama.
Suliati Asri

MINAT tidak terbendung dalam menimba ilmu selain melihat pendidikan dan penyelidikan adalah penentu kepada pembentukan generasi anak bangsa yang holistik di masa akan datang mendorong Dr Mohd Alif Jasni, 35, memanfaatkan pembelajaran sepanjang hayat (Life Long Learning) dengan pengajian doktor falsafah (PhD) keduanya dalam bidang kerja sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pembelajaran sepanjang hayat adalah pembangunan potensi seseorang menerusi penguasaan ilmu, pembangunan intelek, rohani dan profesional secara berterusan dalam diri.

Katanya, belajar sehingga mencapai tahap PhD juga adalah pembelajaran sepanjang hayat yang berupaya melengkapkan diri seseorang dengan pelbagai kemahiran penyelidikan dan membolehkan mereka menyumbang kepada komuniti secara langsung atau tidak langsung.

"Pembelajaran sepanjang hayat, termasuk mengejar PhD juga boleh menjadi langkah strategik untuk kemajuan kerjaya diri seseorang.

"Ini kerana ilmu yang diperoleh daripada pengajian PhD membolehkan seseorang itu bergelar pakar dalam bidang tertentu dan menyumbang kepada masyarakat, bangsa dan negara," katanya.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga memiliki PhD pertama dalam bidang keadilan jenayah di Universiti Malaya (UM) pada 2018.

DR Mohd Alif bergambar bersama penyelianya, Dr Nazirah Hassan.
DR Mohd Alif bergambar bersama penyelianya, Dr Nazirah Hassan.

Bukan itu saja, Dr Mohd Alif juga mempunyai tiga Ijazah Sarjana iaitu dalam bidang pengajian Asean dan bidang keadilan jenayah di UM serta komunikasi media di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dr Mohd Alif berkata, beliau mengikuti pengajian PhD kedua sambil bekerja kerana sebagai pendidik dan ahli penyelidik beliau melihat pendidikan serta penyelidikan adalah penentu kepada pembentukan generasi anak bangsa yang lengkap di masa akan datang.

"Pencarian ilmu perlu dilihat sebagai suatu bentuk perjalanan yang berterusan dalam kehidupan diri setiap insan.

"Oleh yang demikian, pembelajaran sepanjang hayat dan PhD boleh menjadi bahagian penting dalam membentuk intelek, insaniah dan profesional seseorang individu," katanya yang dijangka menamatkan pengajian PhD keduanya pada hujung bulan ini.

Dalam kegembiraan itu, pastinya ia turut disulami dengan cabaran tersendiri.

Kongsi Dr Mohd Alif, antara cabaran yang terpaksa dihadapi dan hampir mematahkan semangatnya adalah pandemik Covid-19.

"Menerusi beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia menyukarkan saya untuk hadir ke kampus bagi mendapatkan penyeliaan.

"Begitu juga ketika proses pengumpulan data yang memerlukan saya mendapatkan kebenaran rentas negeri bagi melaksanakannya.

"Namun, setiap cabaran ini tidak menghalang saya menyiapkan PhD dalam tempoh tiga tahun, sekali gus saya boleh menamatkan pengajian mengikut masa ditetapkan," katanya.

Dr Mohd Alif berkata, walaupun bakal memegang dua PhD, beliau akan terus menimba ilmu dalam beberapa bidang lain terutama sains politik, komunikasi dan gender.

Katanya, menjadi pakar dalam pelbagai bidang memberikan pelbagai kelebihan kepadanya.

"Menerusi penerokaan ilmu, ia memberi keupayaan untuk memahami masalah sosial dan cabaran dengan perspektif lebih luas.

"Justeru, saya boleh menggunakan pengetahuan daripada pelbagai disiplin dalam membawa kepada penyelesaian yang lebih komprehensif.

"Sehingga hari ini, kebanyakan bidang kajian yang dilakukan berkaitan isu gelandangan, penagih dadah dan bekas banduan di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Bergelar pakar dalam beberapa disiplin ilmu juga dapat memupuk kreativiti dalam diri Dr Mohd Alif dengan menggabungkan idea, kaedah dan konsep daripada pelbagai bidang bagi memahami isu gelandangan dan isu jenayah yang berlaku dalam negara.

Akuinya, kekangan masa terutama bagi mereka yang sudah mempunyai kerjaya antara cabaran untuk menyambung pengajian.

Dr Mohd Alif berpendapat, bagi yang sudah bekerjaya, belajar sambil bekerja adalah caranya. Namun, ia juga punyai cabaran tersendiri.

Bagaimanapun, kata Dr Mohd Alif, dengan pengurusan masa dan organisasi yang teratur, setiap orang boleh berjaya dalam dunia akademik dan pekerjaan.

"Bagi yang ingin belajar sambil bekerja, antara tip yang boleh diikuti adalah perlu mewujudkan jadual realistik dan konsisten merangkumi masa khusus untuk kerja, belajar dan aktiviti peribadi.

"Di sini, seseorang itu perlu menentukan matlamat jangka panjang dan pendek yang boleh dicapai ketika bekerja serta belajar," katanya.

Selain itu, membuat pecahan dalam matlamat yang mahu dicapai daripada tugas besar sehingga yang lebih kecil termasuk boleh diuruskan terlebih dahulu juga dapat membantu.

Selain itu, kenal pasti dan utamakan mengikut tugasan hakiki, kesegeraan dan kepentingan.

Hal ini penting bagi memastikan seseorang itu tidak terlepas pandang terhadap tugasan yang penting dan perlu diselesaikan dahulu terutama membabitkan tugasan hakiki di pejabat dan sebagainya.

Pada masa sama, berada dalam persekitaran yang membina juga sangat penting supaya sentiasa mendapat sokongan positif daripada rakan, rakan sekerja dan ahli keluarga.

Jelas Dr Mohd Alif lagi, mengamalkan gaya hidup sihat, tidur yang cukup, mengekalkan diet seimbang dan melakukan aktiviti fizikal bagi menyokong kesejahteraan diri juga antara tip penting yang perlu dilakukan.

"Penting untuk setiap individu peruntukan masa beriadah dan menjaga diri. Keadaan ini membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar dan kurang tertekan.

"Akhir sekali sentiasa tanam dalam diri bahawa belajar adalah jambatan ilmu. Jambatan yang membuka kemungkinan dan perjalanan baharu.

"Pembelajaran meluaskan perjalanan dalam diri seseorang, membentangkan kita dengan pelbagai kemungkinan untuk pembangunan peribadi dan profesional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 7:03 AM