Ketua Pegawai Perniagaan Richworks, Radz Mohd
Ketua Pegawai Perniagaan Richworks, Radz Mohd

Kuala Lumpur: Kejayaan tunjang utama Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks), Datuk Wira Dr Azizan Osman dan Datuk Zafrol Rizal Mat lulus peperiksaan akhir Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), baru-baru ini membanggakan ramai pihak.

Tentunya, pihak pengurusan syarikat bimbingan dan latihan keusahawanan terbesar di Malaysia itu juga menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan dikecapi kedua figura berkenaan.

Ketua Pegawai Perniagaannya, Radz Mohd berkata, dia mewakili pihak pengurusan dan kakitangan sangat berbangga dengan pencapaian Dr Azizan (pengasas) dan Datuk Zafrol (pengasas bersama) syarikat itu.

Kata Radz, seperti diketahui peperiksaan CIMA sangat komprehensif dan seseorang itu perlu meluangkan banyak masa dan usaha bagi menamatkannya dengan sempurna.

"Mereka berdua membuktikan kepada kami bahawa pendidikan ini sebenarnya tak pernah berhenti meskipun sudah bekerja mahupun berniaga. Usia juga bukan halangan atau sekatan untuk menambah ilmu.

"Pembelajaran ini sepanjang hayat, tidak kira di mana kita berada sekarang ilmu sangat penting untuk meningkatkan nilai dan keupayaan diri," katanya.

Zafrol (kiri) dan Dr Azizan melakar kejayaan peperiksaan CIMA
Zafrol (kiri) dan Dr Azizan melakar kejayaan peperiksaan CIMA

Radz berkata demikian ketika mengulas lanjut perkongsian Dr Azizan mengenai keputusan peperiksaan akhir CIMA di LinkedIn, Khamis lalu.

Menerusi perkongsian sama, Dr Azizan turut berkongsikan salah satu matlamatnya untuk menjadi seorang Akauntan Bertauliah Malaysian Institute of Accountants (MIA).

"Meskipun banyak masa digunakan membimbing sekitar 300 usahawan jutawan dalam perniagaan dengan nilai jualan RM3.2 bilion, beliau tak pernah berhenti belajar.

"Ketika ini, Dr Azizan juga merupakan calon bagi doktor falsafah (PhD) bidang Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan di Asia e University yang dijangka tamat pada Oktober ini.

"Semoga kejayaan dan kecemerlangan akan terus mengiring kembara perjalanannya," jelas Radz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 9:02 AM