Lydia Saiful dan Suhaila Khairie


SEMPENA sambutan Bulan Akademia, Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (Centre for Teaching and Learning) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menganjurkan Innovation in Teaching & Learning EXPO (UPNM-InTeLeX).

Program ini memberi fokus kepada perkongsian maklumat dan pengetahuan peserta dalam bidang kepakaran masing-masing melalui pertandingan projek berkaitan inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Seramai 150 peserta menyertai pertandingan tahun ini berbanding 83 penyertaan pada tahun lalu yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah dari pelbagai institusi pendidikan tinggi termasuk universiti awam serta swasta.

Naib Canselor UPNM, Datuk Mardzuki Muhammad berkata, jaringan yang kuat serta mampan dapat dibina dalam usaha mencapai matlamat untuk mencipta generasi berilmu, berinovasi dan mampu berdaya saing di persada antarabangsa melalui inisiatif UPNM-InTeLeX.

Menurutnya, ekspo berkenaan bertujuan meningkatkan lagi aktiviti yang berkaitan dengan pemindahan pengetahuan supaya proses PdP dalam universiti boleh berjalan dengan lebih efektif dan efisien kini serta masa hadapan.

"Kita dapat mencapai kejayaan lebih besar bersama di masa akan datang melalui pencapaian yang lebih banyak dalam usaha UPNM menginovasikan proses PdP di universiti.

"Penciptaan 'platform' bagi mempromosikan pertukaran ilmu pengetahuan ini mampu membawa bersama pemikir, pengajar dan pelajar untuk berbincang, membuka kotak minda, memacu daya imaginasi serta mendorong kepada inovasi dan kreativiti dalam era pendigitalan pengajaran dan pembelajaran.

"Dalam era teknologi baharu milenium ini, ia menjadi suatu kelebihan dalam universiti untuk mengadaptasikan perubahan dalam gaya pengajaran pelajar UPNM," katanya.

MUHAMMAD Adam Syahmi Hasanbasri (kiri) dan Muhammad Afiq menunjukkan permainan yang dihasilkan di UPNM-InTeLeX.
MUHAMMAD Adam Syahmi Hasanbasri (kiri) dan Muhammad Afiq menunjukkan permainan yang dihasilkan di UPNM-InTeLeX.

Hadir sama, Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim, Muhammad Ilman Ismail, 20, berkata, tujuan dia menyertai ekspo kali ini adalah mencipta permainan (game) yang berasaskan elektrik bagi kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun selain membantu graduan sebaik melangkah ke luar dari universiti kelak.

"Saya gembira kerana dapat turut serta dalam ekspo hari ini selepas hampir sebulan membuat persediaan dan hasil begitu berbaloi.

"Idea untuk mencipta permainan ini adalah daripada pensyarah yang mengajar subjek berkaitan elektrikal dan elektronik.

"Dari segi pergerakan kapal atau konsep adalah sepenuhnya idea kumpulan kami.

"Walaupun pelbagai cabaran dihadapi ketika merancang permainan ini, ia dapat diatasi dengan bantuan pensyarah di universiti," katanya.

Sementara itu, Muhammad Afiq Haidar, 20, berkata, persediaan yang dilakukan bagi merangka dan membina permainan yang diberi nama Mochipoly berkenaan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disempurnakan.

TINJAUAN terhadap projek yang dihasilkan pelajar.
TINJAUAN terhadap projek yang dihasilkan pelajar.

"Projek ini dirancang dan dihasilkan daripada gabungan pengalaman semua ahli kumpulan bersama bimbingan pensyarah.

"Selain itu, kami juga melakukan sedikit perubahan daripada permainan asal kerana mahu menghasilkan sebuah permainan yang dapat membantu menambahkan pengetahuan kepada kanak-kanak berkenaan asas komponen dalam litar.

"Kami perlu mencari komponen sempurna dan sesuai untuk membina Mochipoly ini di beberapa kedai yang bersesuaian," katanya.

Pelajar jurusan Teknologi Maritim itu berkata, permainan Monopoly Go yang popular dalam kalangan generasi muda pada masa kini juga menjadi pendorong utama kepada pasukan mereka untuk meneruskan dan menambah baik projek ini.

"Sebenarnya kami merancang projek ini sebelum wujud Monopoly Go lagi, tetapi selepas wujud permainan digital terbabit ia menambahkan lagi idea kepada kami untuk mengolah permainan berkenaan menjadi lebih menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 7:00 AM