NC UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah ( tiga dari kanan) merasmikan Kursus Mediasi UUM.
NC UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah ( tiga dari kanan) merasmikan Kursus Mediasi UUM.
Samsudin Oli Mohamed


Seramai 31 peserta kursus perundingan penyelesaian pertikaian ADR (Alternative Dispute Resolution) melalui mediasi bakal menerima Sijil Pengantara (Mediator) yang dikeluarkan oleh The Accord Group, Sydney, Australia.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kursus yang julung kali dianjurkan Pusat Pengajian Undang-undang dengan kerjasama Perunding yang ditauliahkan dari The Accord Group, Sydney, Australia, iaitu ZRTA Group Sdn Bhd itu adalah di bawah tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Geran PENJANA KPT PACE atau Profesional Certification yang mula diperkenalkan pada tahun 2019.

Menurutnya, kursus yang dianjurkan selama lima hari yang dikendalikan jurulatih dan perunding terlatih diketuai tokoh dalam bidang perundangan yang juga Ketua Perunding ZRTA Group Sdn Bhd Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pastinya memberi manfaat kepada pelajar dan graduan UUM.

"Saya berasa bangga dan gembira dengan inisiatif dari pusat pengajian dalam memastikan graduan mereka tidak hanya dilengkapi dengan ijazah akademik, malah peserta akan mendapat Sijil Mediator yang menjadi nilai tambah tersendiri kepada graduan untuk kekal berdaya saing dan memenuhi kehendak industri.

"Sijil pengantara ini juga pastinya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan sama ada di dalam organisasi, firma sedia ada atau pun menubuhkan firma sendiri dalam mencipta peluang kerjaya kepada pihak lain dan memenuhi hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang berketrampilan serta boleh memberikan manfaat kepada masyarakat selaras dengan moto UUM iaitu ILMU BUDI BAKTI," katanya ketika berucap merasmikan Mediation Process and Skills Course Programme di Mahkamah Mut, Bangunan UUM COLGIS.

PESERTA dan Pensyarah yang hadir.
PESERTA dan Pensyarah yang hadir.

Turut hadir pada majlis itu, Datuk Zainul Rijal, Ahli Lembaga Pengarah UUM Nazira Abdul Rahim dan Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Pengarah Pejabat Pengurusan Risiko UUM Prof Dr Nuarrual Hilal Md Dahlan.

Zainul Rijal berkata, kursus Mediatasi selama 40 jam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ini memberi penekanan dalam aspek kemahiran dan skil untuk menjadi mediator.

Katanya dengan kelulusan dalam bidang ini memberi peluang kepada graduan-graduan mediasi selain daripada menjadi peguam mereka juga boleh menjadi Mediator.

"Kini peluang mereka lebih luas bukan sahaja menjadi peguam atau hakim malah boleh menjadi mediator," katanya.

Sementara itu Dekan Pusat Pengajian Undang-undang Prof Madya Dr Yusramizza Md Isa @ Yusuff berharap peserta kursus ini dapat membantu masyarakat untuk menyelesaikan masalah, perselisihan dan pertikaian dalam kalangan ahli keluarga, kejiranan mahupun organisasi nanti.

"Dengan pendekatan mediasi ini diharap dapat membantu pihak yang berbabit mencapai persefahaman dan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui tanpa menzalimi mana-mana pihak nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 6:30 AM