PESERTA bersama Dr Afif (tengah) yang merasmikan acara penutup. FOTO NSTP
PESERTA bersama Dr Afif (tengah) yang merasmikan acara penutup. FOTO NSTP
Zaitie Satibi

SINDROM pelajar dan ibu bapa kurang meminati bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dilihat menerusi stigma yang masih wujud dalam masyarakat yang menganggap TVET sebagai pendidikan kelas rendah berbanding akademik.

Biarpun sudah banyak usaha dilakukan bagi memperbetulkannya, ramai terlupa sumber tenaga kerja yang semakin dicari majikan di seluruh dunia kini adalah mereka yang berkemahiran.

TVET berperanan menjadi agen perubahan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara. Malah, TVET juga berupaya melahirkan tenaga kerja tempatan diperlukan industri dan negara bagi mengharungi Revolusi Industri 4.0.

Dalam usaha mempromosikan pengajian TVET kepada masyarakat, tiga politeknik dan enam kolej komuniti di Pulau Pinang menganjurkan program Kayuhan Komuniti Cergas, baru-baru ini.

Institusi terbabit ialah Politeknik Seberang Perai, Politeknik Balik Pulau, Politeknik Metro Tasek Gelugor, Kolej Komuniti Seberang Jaya, Kolej Komuniti Kepala Batas, Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Kolej Komuniti Bukit Mertajam, Kolej Komuniti Nibong Tebal dan Kolej Komuniti Bayan Baru.

ACARA gabung sembilan institusi rapatkan ukhuwah. FOTO NSTP
ACARA gabung sembilan institusi rapatkan ukhuwah. FOTO NSTP

Acara kayuhan julung kali diadakan itu dan diketuai Kolej Komuniti Seberang Jaya mendapat sambutan menggalakkan daripada 221 penyertaan. Peserta paling veteran berumur 69 tahun, manakala paling muda 14 tahun dengan konsep program berbentuk santai.

Kayuhan Komuniti Cergas memerlukan peserta berbasikal sejauh 35 kilometer (km) dari Kolej Komuniti Seberang Jaya melalui Jalan Permatang Nibong, Kubang Semang, Bukit Indera Muda, Permatang Pauh, Permatang Tok Kandu dan berakhir di tempat pelepasan.

Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran pendidikan daripada politeknik dan kolej komuniti, kempen kesihatan, pameran daripada agensi kerajaan dan pihak penaja serta hadiah cabutan bertuah yang berbentuk hamper serta basikal.

KAYUHAN babit peserta warga emas dan belia. FOTO NSTP
KAYUHAN babit peserta warga emas dan belia. FOTO NSTP

Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya, Radzuan Othman berkata, selain politeknik dan kolej komuniti mempromosikan program pengajian ditawarkan, acara itu juga mengeratkan ukhuwah antara institusi pendidikan dan masyarakat.

“TVET menekankan pendekatan kemahiran selari dengan keperluan industri adalah kunci ke arah membangunkan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050.

“Dalam usaha kerajaan menambah bilangan tenaga kerja mahir, kuantiti dan kualiti lulusan TVET akan dipertingkatkan. Ini meningkatkan kemahiran rakyat sekali gus membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,”katanya.

Pelepasan disempurnakan Pegawai Daerah Seberang Prai Tengah, Kamarul Haizal Koderat manakala majlis penutup disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Baharudin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:06 AM