SULAIMAN (dua dari kanan) dan Rais (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru.
SULAIMAN (dua dari kanan) dan Rais (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru.
Nazri Abu Bakar


PERANAN besar guru-guru di Melaka amat penting dalam membantu negeri terbabit menjadi hab pendidikan di peringkat domestik dan antarabangsa, selaras dengan 'flagship' ketujuh Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) .

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, PSMJ 2035 meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri lestari yang terus maju dan makmur sebagai hab pendidikan.

Menurutnya, antara cabaran gagasan besar PSMJ 2035 untuk menghapuskan kemiskinan dalam semua bentuk dan tempat yang diyakini berupaya mendepaninya menerusi pendidikan.

"Dalam menyokong usaha terbabit, setiap inisiatif dalam membawa Melaka untuk terus maju, pastinya memerlukan generasi yang berkualiti dari aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai sahsiah yang tinggi.

"Justeru, pendidikan anak bangsa amat signifikan sebagai asas dalam menjadikan Melaka sebuah negeri lestari," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021 di bandar raya Melaka.

Hadir sama Exco Pendidikan Datuk Rais Yasin dan Pengarah Pendidikan negeri Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan penghargaan di atas jasa guru yang banyak berkorban dalam pendidikan anak bangsa terutama dalam dua tahun kebelakangan ini ketika negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang melumpuhkan pelbagai sektor termasuk pendidikan.

SEBAHAGIAN daripada guru yang menyertai Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2021.
SEBAHAGIAN daripada guru yang menyertai Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2021.

Beliau berkata, dalam Bajet 2021 Negeri Melaka, kerajaan Melaka meluluskan RM5 juta untuk pembelian cecair pembasmi kuman dan pelitup muka untuk diberikan kepada murid.

Malah, kerajaan negeri juga menyediakan bantuan peranti dan data internet kepada murid yang kurang berkemampuan selain berusaha meningkatkan capaian internet 5G.

Pada majlis berkenaan, Sulaiman turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka kepada tiga penerima iaitu Datuk Md Rashid Hussin, Abdul Rani Embi dan Tan Cheng Kwang.

Seramai 25 guru pula turut menerima beberapa anugerah termasuk Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Guru Inovatif, selain 20 lagi menerima Anugerah Khas Pengarah JPN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:30 AM