Mohd Ali Mohd Rustam
Mohd Ali Mohd Rustam
Nuraliawati Sabri


Melaka: Prinsip diketengahkan dalam konsep Malaysia Madani perlu diterjemahkan secara baik dalam dalam pembangunan ekonomi dan sahsiah Melaka.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam berkata, konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi asas penting dalam memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa sebarang diskriminasi atau penindasan.

Beliau berkata, Malaysia Madani merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

"Malaysia Madani menjadi asas penting dalam konteks pembangunan dan peradaban negara yang menyentuh aspek keseimbangan serta kemampanan.

"Besar harapan saya supaya prinsip-prinsip ini dapat diterjemahkan dengan baik dalam pembangunan ekonomi dan sahsiah Melaka," katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang Dipertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, gagasan Malaysia Madani pula adalah untuk melahirkan Malaysia yang maju dan tinggi tamadunnya.

Sementara itu, Mohd Ali turut berkata, setiap dasar dan program dirancang Kerajaan Negeri Melaka haruslah mengutamakan kepentingan serta keperluan rakyat dalam memastikan kualiti hidup di negeri ini berada dalam keadaan lebih baik.

"Hal itu perlu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan Negeri Melaka melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

"Saya juga berharap semua jabatan dan agensi yang terbabit perlulah mengenal pasti sumber pembiayaan bagi melaksanakan projek atau program tersebut selain ia mestilah dipantau secara telus untuk memastikan perancangan pembangunan berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap supaya kebajikan golongan miskin tegar perlu menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka meskipun tiada penyelesaian tunggal yang dapat sepenuhnya mengatasi hal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 2:27 PM