Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
Amir Mamat


Ayer Keroh: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul penjenamaan semula Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) kepada Perbadanan Melaka atau dikenali sebagai Melaka Corporation atau MCorp.

Penjenamaan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (Pindaan) 2022, yang mendapat sokongan 19 daripada 26 ahli Dewan yang hadir pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15, hari ini.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sebanyak lapan fasal enakmen itu dicadangkan untuk dipinda termasuk meminda perkataan PKNM kepada Perbadanan Melaka (Melaka Corporation) atau nama komersialnya, MCorp.

Katanya, selain itu, antara yang turut dipinda ialah perkataan Pengurus Besar kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

"RUU ini juga bertujuan untuk meminda subseksyen 14 (1) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka 1971 (No 1 Tahun 1971) bagi menambah tugas dan kuasa PKNM dengan menambah aktiviti yang boleh dilaksanakan tidak terhad kepada maritim dan perkapalan, minyak dan gas, tenaga, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi maklumat di bawah pelaksanaan tugas serta kuasa perbadanan," katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, dalam meneruskan agenda pembangunan berterusan di negeri itu, PKNM merancang dan menyusun beberapa projek yang sedang serta akan dilaksanakan dalam tempoh jangka pendek dan panjang.

"Saya percaya bahawa projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh PKNM turut meliputi seluruh kawasan di negeri Melaka.

"Saya juga percaya bahawa pembangunan yang akan dilaksanakan itu akan menggandakan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan selain meningkatkan ekonomi negeri selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) di bawah flagship kedua iaitu Melaka Negeri Usahawan (Pembangunan Perindustrian dan PKS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 3:38 PM