SISA yang berjaya dikumpul.
SISA yang berjaya dikumpul.
hmdigital

SEBANYAK 204.4 kilogram sisa pepejal berjaya dikutip penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menyertai aktiviti #Jomkitaplogging yang diadakan di sekitar pekan Panchor, Muar, Johor, baru-baru ini.

Program berbentuk khidmat masyarakat itu disertai mahasiswa Sarjana Muda Sesi 1, 2019/2020 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Penasihat program, Dr Roslinda Ali yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), berkata aktiviti plogging iaitu larian sambil mengutip sampah di sepanjang laluan semakin menular dan menjadi trend riadah sihat di seluruh dunia.

“Aktiviti yang berasal dari Sweden ini adalah program serampang dua mata, apabila individu dapat menjaga kesihatan diri dan pada masa yang sama menjaga alam sekitar.

“Selain itu, aktiviti seperti ini dapat menyampaikan mesej kepada komuniti setempat kepentingan bekerjasama antara semua pihak dalam usaha mengekalkan tahap kebersihan dan ekosistem persekitaran yang sihat,” katanya.

Program itu mendapat penyertaan 70 penuntut turut dibantu Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPM, Mohammad Azlie Sham Rasulu, berkata aktiviti plogging adalah sebahagian daripada aktiviti mingguan MPM dalam memastikan bandar Muar kekal sebagai bandar terbersih di Asia Tenggara.

Menurutnya, setakat September lalu, 2,140 kilogram sisa pepejal dikutip menerusi program berkenaan.

“Selepas aktiviti plogging, waste audit dijalankan pihak MPM bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dan tidak boleh dikitar semula.

“Sisa yang boleh dikitar semula dihantar ke pusat kitar semula manakala yang tidak boleh pula dihantar ke tapak pelupusan sampah Bukit Bakri, Muar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 10:17 AM