YONG (kiri) dan Dr Sukati ketika Majlis Pelancaran Dolo-Air di UPM baru-baru ini.
YONG (kiri) dan Dr Sukati ketika Majlis Pelancaran Dolo-Air di UPM baru-baru ini.
Hartini Mohd Nawi


MENYEDARI kesuburan tanah antara faktor utama kejayaan tanaman mengeluarkan hasil yang baik atau sebaliknya, seorang usahawan wanita menjalankan kajian menghasilkan formula mengembalikan kesuburan tanah walaupun digunakan secara berulangan.

Yong Norita Ahmad, 56, yang juga Pengarah Urusan Perlis Dolomite Industries (PDI) Sdn Bhd berkata, tanah yang sudah digunakan berulang kali menyebabkan keasidannya meningkat sekali gus mengurangkan kesuburannya.

"Kesuburan dan kesesuaian tanah untuk tanaman diukur melalui julat pH yang bersesuaian dengan tanaman tertentu.

"Contohnya, tanah yang mempunyai pH 5.5 dan ke bawah mengandungi keasidan tinggi dan masam, gagal menyerap nurtien yang dibekalkan baja dan menyebabkan kerugian kepada petani.

"Bagaimanapun, keadaan tanah dengan pH yang tinggi sama ada masam atau berasid boleh dirawat dan dipulihkan menggunakan dolomite. Ia sejenis batuan karbonat yang mengandungi kalsium dan magnesium karbonat," katanya.

Yong berkata, penggunaan dolomite dalam pertanian lazim dikaitkan dengan usaha pemulihan kesuburan tanah dan pengurangan keasidan tanah.

"Hasilnya tanaman lebih mudah menyerap nutrien seperti fosforus, nitrogen, dan kalium. Apabila proses ini berlaku, pokok atau tanaman dapat tumbuh dengan subur dan baik," ujarnya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Dolo-Air di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dolo-Air adalah alternatif terbaharu kepada produk dolomite yang diusahakan PDI sejak empat tahun lalu.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Sukati Sakka.

Yong Norita yang menceburi bidang penternakan dan pertanian hampir 22 tahun lalu menambah, bagi jangka masa yang panjang, dolomite juga membantu kesan positif terhadap struktur tanah.

DR Sukati (kiri) mendengar penjelasan Yong berkenaan  Dolo-Air.
DR Sukati (kiri) mendengar penjelasan Yong berkenaan Dolo-Air.

Melalui cara penggunaan yang betul, dolomite membantu dalam pembentukan agregat tanah dan akan meningkatkan keupayaannya menahan air serta udara sekali gus menyediakan medium terbaik untuk tanaman.

"Buat masa sekarang, PDI mengeluarkan dolomite 100mesh dalam keadaan serbuk halus dan mudah diserap ke dalam tanah dengan lebih efisen.

"Kesan penggunaan dapat dilihat dalam tempoh dua minggu apabila warna daun dan pucuk baharu tumbuh dengan lebih lebat.

"Petani digalakkan menggunakan dolomite untuk jangka panjang bagi mengekalkan pH tanah sekali gus menjaga kesuburan tanah pada tahap yang terbaik. Kadar kalsium dan magnesium yang tinggi dalam dolomite menggalakkan pokok menyerap mineral tambahan untuk proses tumbesaran yang baik, menambah daya tahan pokok dan meningkatkan hasil pengeluaran," katanya.

Menyentuh mengenai produk baharu yang dilancarkan, Yong Norita memberitahu, berdasarkan kajian berterusan Dolo-Air adalah penyelesaian kepada petani untuk membantu meningkatkan hasil pertanian dalam masa yang lebih pantas.

Berbeza dengan dolomite dalam bentuk serbuk, lebih berat dan menyukarkan petani lebih berusia mengangkatnya, produk baharu ini dalam medium cecair lebih ringan dan pratikal.

"Produk baharu ini dihasilkan menggunakan teknologi dan mesin pengilangan yang rumit untuk mengekalkan kebaikan dan kandungan mineral yang tinggi.

"Penggunaannya nisbah 1:20 yang pati Dolo-Air perlu ditambah air untuk penggunaan.

"Ia juga mudah diserap terus ke dalam tanah dan sesuai untuk semburan terus ke pokok dan daun tanaman malah sesuai juga untuk tanaman fertigasi yang berasaskan polybag dan sebagainya," katanya.

Kandungannya kekal dengan mineral semula jadi yang selamat digunakan kepada manusia dan haiwan, ditawarkan dengan RM30 per liter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 6:30 AM