SEMAKIN popular di negara-negara Kesatuan Eropah.
SEMAKIN popular di negara-negara Kesatuan Eropah.
Lizam Ridzuan


TIDAK dinafikan ada banyak buah-buahan tempatan kaya dengan khasiat tersendiri kini bukan sahaja untuk ditanam bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, malah bagi tujuan eksport.

Antaranya nangka atau nama saintifiknya Artocarpus heterophyllus iaitu buah berasal dari negara tropika termasuk Malaysia.

Nangka terkenal dengan saiznya yang besar dan bentuk buah berstruktur seperti serat.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Jabatan Pertanian, Nor Sam Alwi berkata, industri nangka tanaman tumpuan yang berpotensi diketengahkan sebagai sumber sektor pertanian negara memandangkan nangka ada pasaran besar dan berpotensi diterokai. Ada enam nangka popular di Malaysia iaitu J29, NS1 (J31), Mantin (J32), Tekam Yellow (J33), Mastura (J37) dan Crystal Jackfruit 3 (J40).

Paling mendapat sambutan dan banyak ditanam di Malaysia adalah Tekam Yellow (J33) dan Mastura (J37) serta buat masa ini hanya Tekam Yellow (J33) yang mempunyai potensi pasaran komersial.

Berdasarkan data perangkaan pertanian, penggunaan komoditi tanaman nangka meningkat 29 peratus iaitu daripada 25,285 metrik tan (mt) pada 2018 kepada 32,716mt pada 2022 dengan pengeluaran meningkat dari 31,000mt kepada 40,000mt.

"Permintaan dalam negara bagi tanaman nangka dijangka meningkat kepada 611,000mt pada 2025 dan pada 2022, eksport nangka Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai RM14.7 juta dan nilai eksport nangka diunjur terus meningkat kepada RM22.1 juta pada 2025," katanya.

Untuk antarabangsa, permintaan semakin meningkat disebabkan peningkatan kesedaran global terhadap makanan yang sihat dan berkhasiat.

KHIDMAT nasihat pengembangan pertanian.
KHIDMAT nasihat pengembangan pertanian.

Buah nangka yang kaya dengan nutrisi dan serat semakin diminati sebagai makanan alternatif yang seimbang juga sesuai dengan trend penggunaan makanan organik dan makanan 'plant-based' yang makin popular di negara Kesatuan Eropah dan negara Timur Tengah.

Selain dilihat sebagai pemacu kepada peningkatan permintaan nangka di persada perdagangan pertanian global.

Seterusnya, pemilihan China sebagai negara penting untuk pengeksportan nangka dari Malaysia membabitkan pertimbangan pelbagai aspek terutama dari segi peningkatan ekonomi.

Ini kerana China antara pasaran terbesar di dunia dengan populasi penduduk 1.4 billion dan mempunyai permintaan tinggi terhadap buah-buahan tropika.

Pertumbuhan ekonomi pesat di China meningkatkan kuasa beli penduduknya yang membawa kepada peningkatan permintaan pelbagai makanan segar dan berkualiti tinggi termasuk nangka.

Menyentuh khasiat nangka, ia membantu dalam penurunan tekanan darah dan meningkatkan peredaran darah dalam badan.

Ia juga kaya dengan vitamin A dan C (anti-oksida) yang membantu menguatkan sistem daya tahan badan terhadap serangan penyakit selain memelihara kesihatan mata dan kulit.

Nangka juga mempunyai kandungan zat mineral yang agak tinggi seperti kalsium, fosforus, natrium dan kalium serta kandungan beberapa vitamin.

Selain sebagai sumber khasiat, daun nangka sering digunakan sebagai makanan ternakan terutama untuk kambing dan lembu.

NANGKA kaya dengan nutrisi dan serat.
NANGKA kaya dengan nutrisi dan serat.

Bahagian batang pokok nangka pula agak keras dan kurang diserang anai-anai (termites), kulat serta bakteria sesuai dijadikan perabot.

Jabatan Pertanian memainkan peranan penting menggalakkan penanaman buah-buahan terutama nangka dengan menyediakan khidmat nasihat pengembangan dan pembangunan pertanian.

Ia melalui pemindahan teknologi berteraskan Amalan Pertanian Baik di sepanjang rantaian nilai bagi meningkatkan pengeluaran dan pendapatan serta memastikan pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Antara khidmat nasihat pengembangan pertanian yang ditawarkan terdiri daripada pengesyoran benih, pengurusan agronomi tanaman, pengurusan pembajaan, pemantauan dan pengawalan perosak serta penyakit tanaman.

Bagi menggalakkan pembangunan industri buah-buahan, ada tiga projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) iaitu Projek Pembangunan Buah-Buahan Jangka Panjang, Projek Pembangunan Buah-Buahan Jangka Pendek dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Bagi menyokong industri huluan buah-buahan, Jabatan Pertanian memperuntukkan RM3,800,000 di bawah Projek Pengeluaran Benih Tanaman Berkualiti tahun ini menerusi pembangunan kawasan dan infrastruktur asas ladang benih dan nurseri, pembangunan kawasan pokok induk dan pengeluaran benih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 6:30 AM