CILI fertigasi yang tersusun di ladang milik Syed Salleh.
CILI fertigasi yang tersusun di ladang milik Syed Salleh.
Hafiz Ithnin

"Pada awalnya memang rasa 'kecewa' kerana tidak dapat bekerja dalam bidang yang saya pelajari di universiti. Namun, sebenarnya tersirat kemanisan di sebaliknya," kata usahawan agro berusia 29 itu kepada penulis.

Begitu pembuka kisah pemegang ijazah muda pengurusan pemasaran itu tatkala ditanya mengenai bagaimana tercetusnya minat dalam bidang pertanian sehingga kini bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang baik, malah membantu orang lain menerusi keusahawanan sosial.

Berkongsi lebih lanjut, Syed Salleh Syed Sulaiman pada mulanya melihat berkebun hanya satu tanggungjawab yang perlu digalas demi memenuhi permintaan ayahnya yang mengusahakan pelbagai tanaman secara tradisional.

Katanya, sebaik sahaja mengalas tanggungjawab itu, dia melihat bidang pertanian ini amat berkait rapat dengan teknologi yang bukan sahaja mampu memberi kemudahan, tetapi mengurangkan kos kebergantungan sumber manusia.

Justeru, pada 2016 dia mengikuti beberapa siri kursus membabitkan tanaman fertigasi cili sebelum dilakukan secara kecil-kecilan di kawasan rumah membabitkan 120 plastik semaian (polybag) dan kini dia mempunyai 11,500 plastik semaian yang menghasilkan sehingga tujuh tan cili semusim.

BERMULA daripada ‘terpaksa’ kini Syed Salleh menjadi usahawan pertanian.
BERMULA daripada ‘terpaksa’ kini Syed Salleh menjadi usahawan pertanian.

Jelasnya, tanaman secara fertigasi itu memerlukan modal yang tinggi memandangkan dia perlu membangunkan teknologi sistem siraman air, baja dan racun.

"Pada awalnya untuk 120 plastik semaian itu saya menggunakan modal sekitar RM1,200 dan bukan mudah untuk mengumpulkan modal lebih besar kerana saya perlu berkorban banyak perkara bagi menukar sistem tanaman tradisional yang diusahakan sebelum ini kepada teknologi lebih baharu.

"Saya jual pelbagai barang pertanian yang tidak digunakan untuk mengumpulkan modal sedikit demi sedikit. Kesungguhan saya itu menarik minat pelbagai agensi bagi membantu saya mengembangkan projek fertigasi sehingga mampu mempunyai 11,500 plastik semaian yang diuruskan menggunakan kaedah mentor mentee ketika ini," katanya.

Akuinya, tanaman cili secara fertigasi amat membantu dalam aktiviti pertanian kerana pengusaha boleh mengawal sistem siraman, baja dan racun dengan menggunakan pelbagai teknologi termasuk secara jarak jauh menerusi telefon bimbit.

Bagi tanaman cili ferigasi kualiti air seperti tahap keasidan (pH) perlu diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan air itu boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai untuk tanaman cili antara 5.8 hingga 6.2.

TANAMAN cili fertigasi memudahkan aktiviti pertanian.
TANAMAN cili fertigasi memudahkan aktiviti pertanian.

Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus. Penggunaan air paip sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan kepada kos utiliti. Tapak projek perlu diratakan supaya aliran air baja yang diberikan kepada pokok adalah sama.

Tambahnya, pemilihan cili sebagai produk pertanian juga agak menarik kerana ia sentiasa mempunyai permintaan dalam pasaran tempatan dan ketika ini dia hanya menjual di sekitar Kedah.

"Harga borong bagi sekilogram cili ketika ini sekitar RM10 hingga RM13 sekilogram. Saya sendiri walaupun sudah mengeluarkan sehingga tujuh tan semusim dengan hasil minimum berdasarkan tanaman secara berperingkat, namun masih tidak dapat memenuhi permintaan pasaran sekitar Kedah.

"Cili mengambil tempoh matang 75 hari daripada tempoh dipindahkan ke plastik semaian selepas 30 hari disemai dalam bekas khas untuk anak benih. Jadi, untuk memastikan bekalan sentiasa ada saya usahakan secara bermusim.

"Dari segi musim, saya boleh membuat tanaman lima musim dalam tempoh dua tahun. Sehingga kini sejak aktif dalam tanaman cili fertigasi saya sudah menanam sebanyak 15 musim," katanya.

CILI yang sudah matang untuk dijual kepada pemborong.
CILI yang sudah matang untuk dijual kepada pemborong.

Ditanya mengenai cabaran, katanya, makhluk perosak dan harga import pertanian seperti baja pastinya menjadi perkara yang menjadi cabaran sepanjang terbabit dalam bidang pertanian.

"Selain itu, walaupun menggunakan teknologi dalam pertanian, saya juga memerlukan tenaga kerja manusia dan sukar untuk mendapatkan individu tempatan yang ingin kerja dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, hasil daripada melaksanakan keusahawanan sosial mampu menarik lebih ramai minat warga tempatan untuk menyertai bidang ini yang mempunyai potensi besar mendapat pendapatan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 6:50 AM