BERBUDI kepada tanah, usaha yang membuahkan hasil kepada warga SMK Berangan.
BERBUDI kepada tanah, usaha yang membuahkan hasil kepada warga SMK Berangan.
Siti Rohana Idris


JIKA kena dengan caranya, bidang pertanian mampu menjadi sumber pendapatan yang lumayan.

Justeru, minat untuk menceburi bidang pertanian perlu dipupuk sejak awal lagi terutama di peringkat sekolah menengah bagi memberi pilihan pekerjaan kepada golongan muda.

Menyedari kelebihan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, Tumpat, Kelantan memanfaatkan tanah yang ada di sekolah itu untuk aktiviti menanam sayur kubis.

Dikendalikan guru mata pelajaran Geografi, Mohd Rosli Yaakub, seramai 60 pelajar tingkatan satu dan lima daripada kelas yang diajarnya didedahkan dengan ilmu menanam kubis di bawah Projek MyGreen Team bermula September lalu.

Mohd Rosli berkata, projek pertanian di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tumpat itu pada awalnya menerima sumbangan 150 polibeg bagi menjalankan pertanian fertigasi berkenaan.

Kata Mohd Rosli, pada mulanya mereka menjalankan pertanian lada solok namun berdepan dengan banyak masalah antaranya serangan penyakit.

"Ia menyebabkan kami beralih kepada penanaman kubis yang dilihat lebih sesuai untuk pendedahan awal pelajar kepada ilmu pertanian.

"Tempoh penanaman kubis adalah selama 90

hari, namun kami terpaksa menuai lebih awal kerana faktor musim tengkujuh yang dibimbangi menjejaskan tanaman itu," katanya kepada Agro.

Setiap hari, apabila tiba waktu mata pelajaran Geografi dan Pendidikan Jasmani yang diajarnya, pelajar daripada kelas terbabit akan turun ke tapak tanaman kubis untuk memantau serta menjalankan kerja bertani.

Mohd Rosli berkata, penanaman kubis tidaklah rumit sebaliknya hanya perlu menjaga air, baja dan disembur racun seminggu sekali sahaja.

"Kubis itu dijual pada RM5 untuk satu kilogram (kg) dan belum sempat dijual kepada orang luar, semuanya sudah 'licin' dibeli warga sekolah ini sendiri.

"Wang yang diperoleh disimpan untuk digunakan bagi projek pertanian akan datang dan insya-Allah mungkin kami akan teruskan dengan tanaman terung pula selepas ini," katanya.

Bagi pengetua SMK Berangan, Mohd Razuki Derahman, projek MyGreen Team itu jelas membantu dalam usaha menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah sekali gus meningkatkan peratusan kehadiran pelajar.

Kata beliau, usaha itu juga dapat mendedahkan ilmu pertanian kepada pelajar dan memberi kesedaran generasi muda mengenai potensi besar dan kepentingan sektor pertanian.

"Projek ini dapat membuka mata pelajar yang sebelum ini tidak dapat melihat potensi sebenar sektor pertanian.

"Diharapkan, ilmu yang diberikan mampu dimanfaatkan pelajar sama ada untuk dikembangkan masa kini atau sebaik tamat persekolahan nanti," katanya.

Sementara itu, pelajar tingktan satu, Nik Muhammad Alif Imran Nik Mohamad Zaki, 13, berkata, dia sudah didedahkan dengan aktiviti tanaman sayuran sejak kecil lagi apabila bapanya juga seorang petani.

Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, bapanya menanam tembikai, mentimun dan kubis malah dia sering membantu dengan membuang daun yang rosak atau menyiram tananan berkenaan.

"Apabila pihak sekolah mengadakan projek tanaman seperti ini, ia sangat mengujakan kerana selain minat, saya juga berhasrat untuk menjalankan pertanian sendiri suatu hari nanti.

"Dengan ilmu pertanian yang diberikan, saya lebih bersemangat untuk menceburi bidang pertanian ini," katanya.

Pendapat yang sama dikongsikan seorang lagi pelajar, Nur Aisyah Mohd Osmannizam, 13, yang melihat bidang pertanian mempunyai potensi besar untuk diceburi suatu hari nanti.

Nur Aisyah berkata, dia berazam untuk membesarkan tanaman terung dan cili yang diusahakan bapanya selain mahu menambahkan jenis tanaman lain.

"Bapa yang menanam sayur secara kecil-kecilan untuk makan kami sekeluarga sahaja namun selepas ini, saya bercadang untuk bersama-samanya mengusahakan tanaman sayur dengan skala lebih besar untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 6:44 AM