BAJA kompos yang dihasilkan menggunakan kaedah pertanian bandar.
BAJA kompos yang dihasilkan menggunakan kaedah pertanian bandar.
BEKAS botol minuman yang diubah suai untuk tanaman sayur.
BEKAS botol minuman yang diubah suai untuk tanaman sayur.

Bagi yang belum pernah berkebun, sudah pasti mereka menyangka sukar menanam sayur-sayuran di halaman rumah khususnya di ruangan sempit termasuk di kondominium, pangsapuri serta flat.

Namun ia tidak mustahil dilakukan apabila tanaman sayuran segar seperti sawi, salad, kacang bendi, cili, bayam dan kangkung mampu dilakukan walaupun penghuni rumah mempunyai ruangan terhad.

Selaras dengan peningkatan kos sara hidup, menanam tanaman untuk makanan sendiri secara tidak langsung mampu menjimatkan perbelanjaan seharian menerusi projek pertanian bandar diperkenalkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Ini kerana kekurangan tanah bukan lagi alasan tidak membantu keluarga mengamalkan konsep penanaman sayuran yang hanya mengambil masa satu hingga dua bulan untuk mengeluarkan hasil.

Penyelaras Pertanian Bandar CAP, N V Subarow berkata, pertanian bandar kini berkembang pesat di seluruh dunia.

“Justeru, kami melancarkan kebun di premis CAP sebagai projek perintis dengan memperkenalkan pelbagai kaedah dan teknik berkebun untuk penghuni bandar, khususnya mereka yang tinggal di premis tinggi termasuk kondominium, pangsapuri dan flat.

“Sebagai contoh, hasil penelitian mendapati satu keluarga membelanjakan purata RM350 sebulan untuk membeli sayur-sayuran.

“Menerusi kebun bandar yang diperkenalkan, mereka mampu mengurangkan kos dalam jumlah agak ketara,” katanya ketika ditemui di Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Subarow berkata, pihaknya membuat model kebun tegak bagi penghuni pangsapuri dalam ruang terhad dan sesuai bagi sayuran berdaun menggunakan botol kitar semula, tin dan pelbagai bekas seperti pasu.

Menurutnya, melalui aktiviti berkebun di rumah, pengguna boleh menikmati sayuran yang bebas daripada bahan kimia berbahaya, sekali gus menghasilkan alam sekitar hijau yang menarik dan sihat.

“Projek ini mendapat sambutan menggalakkan daripada suri rumah dan pelbagai ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha mengurangkan kos sara hidup.

“Semua sisa organik dapur boleh dijadikan kompos dan baja serta mampu mengurangkan jumlah sampah-sarap untuk dilupuskan.

“Bagi tujuan ini, CAP menghasilkan buku bertajuk Tanaman Berkhasiat di Rumah sebagai panduan kepada mereka yang berhasrat memulakan projek tanaman bandar,” katanya.

Beliau berkata, persatuan itu kini giat mempromosikan projek itu kepada pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi kelab buku hijau di sekolah masing-masing.

“Sambutan diterima sangat memberangsangkan dan diharap pelajar terbabit dapat memulakan projek di rumah masing-masing selepas didedahkan mengenai cara penanaman,” katanya. -Syed Ismail Syed Abu Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:32 AM