DR Siti Habsah memeriksa perkembangan kultur tisu kelapa sawit.
DR Siti Habsah memeriksa perkembangan kultur tisu kelapa sawit.
Mohamad Hussin


Kultur tisu adalah teknik pembiakan mikro membabitkan proses memisahkan sekelompok tisu yang kecil (eksplan) daripada haiwan atau tumbuhan.

Ia kemudian diletakkan dalam medium nutrien yang sesuai dan steril bagi pertumbuhan di luar organisma hidup. Teknik penghasilan benih daripada tisu tumbuhan menggunakan medium nutrien ini mampu menghasilkan benih yang sama dengan pokok asalnya.

Malah kultur tisu antara teknik paling baik untuk memenuhi tujuan ini berbanding teknik pertanian yang lain seperti pembiakan silang atau tut.

Oleh itu, FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerusi Pusat Inovasi FGV (FGVIC) melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan kultur tisu tumbuhan terutama klon kelapa sawit serta pisang.

UJIAN makmal dilakukan.
UJIAN makmal dilakukan.

Ketua Penyelidik Unit Kultur Tisu Tumbuhan FELDA Global Ventures Research and Development (FGVR&D) Dr Siti Habsah Roowi berkata, pihaknya menjalankan kajian kultur tisu tumbuhan sejak lebih 30 tahun lalu.

Beliau berkata, pada peringkat awal penubuhan, makmal kultur tisu tumbuhan ini terletak di Jalan Maktab, Kuala Lumpur dan kemudian berpindah ke Pusat Inovasi FGV (FGVIC) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, pada 2006.

KAKITANGAN FGVIC memproses daun untuk dijadikan kultur tisu.
KAKITANGAN FGVIC memproses daun untuk dijadikan kultur tisu.

“Bermula dengan pengeluaran klon kelapa sawit atau lebih sinonim dipanggil ramet, dengan kapasiti 250,000 setahun, kini FGVIC berjaya menghasilkan satu juta klon kelapa sawit sejak 2010.

“Selain penghasilan klon kelapa sawit, FGVIC juga aktif menghasilkan klon pisang dengan kapasiti sebanyak 500,000 setahun. Klon kelapa sawit dan pisang dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Teknologi kultur tisu yang dibangunkan FGVIC dilaksanakan melalui penyelidikan berterusan. Salah satu formula terbaik yang digunakan dalam penghasilan kultur tisu tumbuhan sudah dibangunkan sebagai produk,” katanya yang ditemui di FGVIC, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

PROSES pengasingan kultur tisu.
PROSES pengasingan kultur tisu.

Menurutnya, PLANTgerminus dan EZgrow adalah produk kultur tisu dibangunkan bagi kegunaan individu atau mana-mana industri yang berminat untuk menghasilkan kultur tisu tumbuhan dalam skala kecil dan besar.

“Kedua-dua produk berkenaan digunakan di FGVIC dalam penghasilan klon kelapa sawit dan pisang (pelbagai jenis).

“Produk PLANTgerminus digunakan untuk penghasilan kalus dan sel embriogenik sementara EZgrow digunakan bagi menghasilkan pucuk dan akar di peringkat in vitro (di dalam tabung uji).

“PLANTgerminus dan EZgrow adalah bahan pemakanan tumbuhan yang dimasukkan ke dalam media (nutrien) pertumbuhan ketika proses penyediaan media pertumbuhan di dalam makmal.

“Produk ini formula terbaik FGVIC dan digunakan dengan meluas dalam kultur tisu tumbuhan in vitro di makmal kultur tisu tumbuhan FGVIC,” katanya.

PROSES kultur tisu dilakukan.
PROSES kultur tisu dilakukan.

Dr Siti Habsah berkata, semua sistem kultur tisu yang dijalankan di FGVIC sama ada membabitkan kultur tisu kelapa sawit, pisang dan tumbuhan lain menggunakan produk PLANTgerminus untuk peringkat penghasilan kalus dan pembentukan sel embriogenik.

“Sementara produk EZgrow digunakan untuk peringkat pengeluaran pucuk dan penghasilan akar. Penghasilan kultur tisu kelapa sawit, pisang dan tumbuhan lain membabitkan pemilihan serta penyediaan pokok induk yang berkualiti dan mencukupi.

KALUS dan sel embriogenik.
KALUS dan sel embriogenik.

“FGVIC menjalankan program penambahbaikan berterusan dalam memperbaiki kaedah pengklonan kelapa sawit dan tumbuhan lain bagi menjadikan ia lebih efektif serta dapat mengurangkan kos operasi.

“Kami turut menawarkan khidmat nasihat untuk memperbaiki kaedah pengklonan kepada individu atau industri yang menjalankan program pengklonan tumbuh-tumbuhan bagi tujuan penambahbaikan sistem pengklonan yang dimiliki,” katanya.

KULTUR tisu yang disimpan dalam bilik khas.
KULTUR tisu yang disimpan dalam bilik khas.

Katanya, pembangunan kultur sel ampaian adalah sebahagian daripada program penambahbaikan berterusan yang dijalankan di FGVIC.

“Kultur ampaian memberi fokus kepada kaedah pembiakan sel embriogenik menggunakan sistem terampai dalam nutrien pertumbuhan berbentuk cecair.

“FGVIC juga menyediakan khidmat pengklonan pokok induk betina (Dura) dan Pokok Induk Jantan (Pisifera) secara kontrak. Kultur tisu pokok induk dura dan pisifera dijalankan bagi tujuan penghasilan biji benih separa-klon untuk pengkomersialan.

“Selain itu, kontrak kultur tisu tumbuhan lain seperti penghasilan klon Tongkat Ali, klon getah dan klon tebu juga ditawarkan kepada individu atau industri yang berminat,” katanya.

PERCAMBAHAN pucuk dan penghasilan klon kelapa sawit.
PERCAMBAHAN pucuk dan penghasilan klon kelapa sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 12:24 PM