TURUT bertindak sebagai pusat pendidikan secara praktikal.
TURUT bertindak sebagai pusat pendidikan secara praktikal.
ANAK benih yang dihasilkan melalui teknik ‘micropropagation’.
ANAK benih yang dihasilkan melalui teknik ‘micropropagation’.
HM Digital

Menerusi teknologi tisu kultur tumbuhan, sumber bekalan makanan pada masa depan dapat dilestarikan apabila proses pengklonan ini mampu menghasilkan anak benih berkualiti tinggi dalam tempoh empat bulan.

Eksekutif Makmal Bioteknologi Selangor Fruits Valley (SFV) Nur Aktika Jamil berkata teknologi pengklonan ini dapat mengeluarkan lebih banyak anak benih dari satu induk yang sama.

“Bagi proses ini, kami memilih benih induk yang berkualiti dan bebas daripada serangga perosak serta penyakit bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Berbanding proses semaian anak benih atau pokok tradisional, selalunya hanya satu anak benih diperoleh daripada induk.

“Sementara menerusi teknologi tisu kultur ini pula, kami mampu menjana kira-kira 50 pucuk baru bagi sebiji benih.

“Teknologi ini membawa perubahan besar dan manfaat kepada usahawan tani kerana anak benih ini memiliki kualiti seperti induknya yang bebas penyakit, namun bukan bermaksud ia tahan penyakit.

“Berdasarkan kajian dan penyelidikan dilakukan, benih induk ini mampu menghasilkan klon anak benih berkualiti bagi lapan kitaran. Jika melebihi kitaran itu, hasil yang dikeluarkan tidak begitu bermutu.

“Teknologi tisu kultur ini turut ditakrifkan sebagai satu kaedah pemuliharaan berkonsepkan ‘ex-situ conservation’ (pemuliharaan luar tapak).

“Ini kerana kita membawa spesies atau baka terancam ke luar dari habitat semula jadinya.

“Malah kita tidak perlu menanti kedatangan musim buah-buahan tertentu untuk mendapatkan biji benih. Menerusi teknologi pengklonan ini, semaian boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nur Aktika, proses yang memakan masa kira-kira empat bulan ini menggunakan gel diperkaya dengan nutrisi lengkap, antaranya hormon sitokinin untuk menggalakkan perkembangan pucuk serta daun dan auksin bagi merangsang pertumbuhan akar.

Kaedah asas menghasilkan anak benih menggunakan sel tisu (micropropagation) ini bermula dengan pemilihan induk benih terpilih yang memiliki potensi dan ciri agronomik, selain bebas perosak serta penyakit.

Benih induk ini perlu disterilkan bagi mengelakkan jaringan langsung antara tisu kultur dengan persekitaran yang tidak konsisten terutama di bahagian pucuk, daun, batang dan akar, sebelum diletakkan di dalam balang kaca mengandungi nutrisi menggantikan tanah.

Apabila pucuk bercambah selepas kira-kira sebulan, ia akan dipindahkan ke platform bernutrisi lebih sesuai bagi menghasilkan banyak pucuk baru, sementara kadar hormon sitokinin turut dipertingkatkan.

Kemudian, pucuk muda ini akan dipisahkan secara manual dan dipindahkan ke medium nutrisi pengakaran mengandungi hormon auksin bagi merangsang pertumbuhan akar yang kuat.

Peringkat seterusnya, ‘acclimatization’ (penyesuaian) antara proses penting dalam memastikan anak benih mampu menyesuaikan dengan persekitaran baru secara perlahan-lahan (dikeluarkan daripada balang) seperti perubahan suhu, kelembapan dan kadar pH.

Mengambil masa kira-kira dua bulan bagi proses ‘acclimatization,’ benih ini akan diletakkan di bawah pengurusan rumah hijau.

Benih yang ditanam dalam beg semaian akan diletakkan pada kedudukan agak tinggi, sementara lantai tanah perlu ditutupi filem plastik bagi mengelakkan pertumbuhan rumpai lain dalam beg poli yang sama. Kemudian, benih matang itu boleh digunakan untuk tujuan penanaman.

Beroperasi sejak Mac 2017, SFV di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor ini berjaya menghasilkan pelbagai anak benih termasuk pokok pisang berangan, pisang tanduk, pisang rastali, pisang abu, pisang nangka, halia bentong, pokok vanila, periuk kera serta tumbuhan akuatik.

Berkongsi perkembangan terkini, Nur Aktika berkata makmal bioteknologi SFV masih dalam proses penyelidikan bagi menghasilkan anak benih pokok rambutan dan nangka madu yang sememangnya mempunyai pasaran tersendiri.

Jelas Nur Aktika, SFV bukan sekadar menyajikan pelancongan asas tani dan penyelidikan malah bertindak sebagai pusat pendidikan kepada pelajar sekolah dan mahasiswa secara praktikal. -Aniza Zainudin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:49 PM