Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Dua sahabat yang turut menjadikan Facebook dan YouTube sebagai rujukan untuk menanam cili secara fertigasi kini mampu tersenyum lebar selepas ia membuahkan hasil.

Bekas jurujual kereta, Mohamad Nafiis Ahmad, 29, berkata, dia dan Wan Mohammad Afiq Wan Zainalabidin, 22, juga tidak malu untuk merujuk dan mendapatkan ilmu penanaman daripada petani yang sedang mengusahakan tanaman cili di sekitar Marang.

"Idea untuk menanam cili secara fertigasi hadir selepas berhenti kerja iaitu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika PKP, saya melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual tudung serta ikan bilis selain ejen produk namun semuanya tidak bertahan lama," katanya ditemui.

Menurutnya, mereka kemudiannya membuat keputusan untuk mencuba bidang pertanian dengan menanam cili.

Mohamad Nafiis berkata, mereka turut disindir selain dipandang rendah pada awal pembabitan namun tidak berkecil hati.'

"Kami diberikan sebidang tanah di Kampung Batu 9, Bukit Payong, Marang sebelum memulakan projek menanam cili fertigasi ini.

"Bagaimanapun, usaha sulung kami ini menemui kegagalan apabila tanaman rosak dimakan kulat malah kami kerugian lebih RM10,000," katanya.

Mereka kemudiannya mencuba buat kali kedua di atas tanah berkeluasan 0.3 hektar di Kampung Bukit Bayas dan ia membuahkan hasil.

"Sebanyak 1,300 pokok cili ditanam dalam polibeg dan kami sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tanaman tidak rosak dan setakat ini, ia membuahkan hasil," katanya.

Sementara itu, Wan Mohammad Afiq berkata, mereka memulakan tanaman cili itu pada September lalu dengan menggunakan benih 'Sakata' dari Jepun malah sudah mula memetiknya secara berperingkat untuk dipasarkan.

Katanya yang tinggal di Kampung Kubang Ikan, Chendering, selepas sebulan, lebih 600 kilogram (kg) cili sudah dipetik dan dijual kepada pemborong, pasaraya, pengusaha restoran, pengusaha sate ikan selain penduduk sekitar.

"Ia dijual berdasarkan gred iaitu RM10 hingga RM12 untuk harga borong manakala RM12 hingga RM15 untuk harga runcit.

"Kami jangkakan hasil cili yang diusahakan ini melebihi satu tan metrik. Syukur kerana penat lelah kami membuahkan hasil," katanya.

Penuntut jurusan Ijazah Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang itu berkata, dia membuat keputusan menangguhkan pengajian buat sementara bagi menumpukan usaha kepada projek penanaman berkenaan.

"Kami berhasrat memperluaskan lagi pasaran ke luar Terengganu dan setakat ini, sudah ada permintaan daripada pemborong di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur," katanya.

NAFIIS dan Wan membungkus cili untuk dijual di Kampung Bukit Bayas, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak
NAFIIS dan Wan membungkus cili untuk dijual di Kampung Bukit Bayas, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 12:51 PM