ANTARA nelayan yang menerima bantuan.
ANTARA nelayan yang menerima bantuan.
Mohamad Hussin

Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018 adalah sebuah program yang menjalin kerjasama dengan nelayan melalui aktiviti turun padang dan ramah mesra membabitkan sektor kerajaan, swasta serta nelayan.

Antara objektif utama program GNN ini adalah sebagai medium penyaluran maklumat berkenaan dasar kerajaan dan penyampaian perkhidmatan yang disediakan jabatan dan agensi kerajaan kepada masyarakat nelayan.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta menjaga kebajikan sosial dan ekonomi masyarakat itu.

Program itu antara inisiatif kerjasama melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk melaksanakan Program GNN 2018.

Pengerusi LKIM Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, program bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin, jabatan dan agensi kerajaan dengan masyarakat nelayan.

Beliau berkata, ia menjadi medium penyaluran maklumat termasuk dasar kerajaan dan penyampaian perkhidmatan yang disediakan jabatan serta agensi kepada masyarakat nelayan.

“Kami meraikan lebih 1,500 nelayan dari seluruh Selangor. Ia membabitkan nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, PNK Kuala Langat, PNK Pelabuhan Klang, PNK Kuala Selangor dan PNK Sungai Besar.

“Dalam menyelusuri kehidupan ini, denyut nadi anda semua sebagai nelayan yang berusaha membanting tulang bagi memenuhi keperluan rakyat untuk mendapatkan sumber protein utama menerusi tangkapan hasil laut sangat dihargai.

“Tidak sedetik pun perit jerih anda semua dilupakan, biar pun pelbagai tohmahan negatif dilontarkan kepada kami,” katanya sempena majlis perasmian Program GNN 2018 Peringkat Negeri Selangor dan majlis penyampaian elaun sara hidup tunai nelayan (ESHN) di Kompleks LKIM, Kuala Selangor, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Turut hadir, Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid, Pengarah LKIM Negeri Selangor Zulkarnain Ashaari, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor (PENEGOR) Ab Aziz Selamat dan Pengerusi PNK Kuala Selangor Kamarudin Sarap.

Program yang berlangsung selama dua hari itu membabitkan nelayan setempat dengan menganjurkan program gotong-royong jiwa murni bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) manakala acara kemuncak perhimpunan lebih 1,500 nelayan di Selangor.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diberi tanggungjawab menjaga kebajikan nelayan kepada LKIM.

“Melaluinya, pelbagai bantuan dan insentif sama ada dalam bentuk ekonomi dan sosial disalurkan bagi meringankan beban nelayan. Misalnya pemberian elaun sara hidup pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan.

“Pada program ini, seramai 892 nelayan membabitkan Parlimen Kuala Selangor dan Tanjong Karang menerima ESHN.

“Program ini akan diteruskan dan menjadi acara tahunan bagi LKIM khusus untuk menghargai warga nelayan dengan penganjuran pelbagai aktiviti membabitkan nelayan serta komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, LKIM juga akan melaksanakan dan merancang pelbagai program dan aktiviti untuk kesejahteraan masyarakat nelayan secara berterusan supaya golongan itu tidak rasa terpinggir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:14 PM