Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) diminta menguasai industri penternakan ayam supaya tidak dikawal kumpulan kartel yang dikatakan mengawal pasaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rantaian itu perlu dikuasai Nafas supaya tiada pihak mengambil kesempatan sehingga mengugut kerajaan.

"Kita tidak boleh membiarkan kerajaan diugut pengeluar ayam sebab itu kita minta Nafas bantu kerajaan supaya pasaran ayam dapat dikuasai dan tiada lagi ugutan.

"Saya tidak nampak kenapa Nafas tidak boleh berjaya (menguasai industri ternakan ayam) kerana mempunyai sejuta ahli. Kalau ahli Nafas terbabit dalam penternakan ayam tiada sebab lagi isu ayam tidak boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-48 Tahun 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.

Malah, Ismail Sabri berkata, Nafas juga boleh memohon subsidi harga ayam yang diberikan kerajaan berjumlah RM700 juta bagi memastikan harga ayam tidak naik di pasaran.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Timbalan Menteri Mafi 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Mafi 2 Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob.

Sementara itu, Zamri berkata, Nafas akan meningkatkan pengeluaran ayam daging bersesuaian dengan permintaan di pasaran.

Katanya, inisiatif ini dilaksana melalui menaik taraf kilang yang sedia ada.

"Melalui inisiatif ini juga Nafas akan berperanan sebagai 'integrator' manakala Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan penternak sedia ada sebagai pengeluar.

"Yang pasti gerakan pertubuhan peladang akan mengawal sepenuhnya rantaian nilai industri ayam daripada ladang ayam baka, kilang makanan ayam, ladang ternakan, kompleks pemprosesan dan pasaran," katanya.

Dalam merealisasikan inisiatif itu, Zamri berkata, Nafas memerlukan sokongan kerajaan melalui peruntukan kewangan dan kontrak berpusat bekalan ayam proses dianggarkan berjumlah RM300 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 11:14 PM
PENGGUNA memilih ayam bersih yang dijual dengan harga RM9.50 termasuk upah proses dan perkhidmatan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO  Mohamad Shahril Badri Saali
PENGGUNA memilih ayam bersih yang dijual dengan harga RM9.50 termasuk upah proses dan perkhidmatan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali