BERHATI-hati daripada menjadi asbab kepada perpecahan umat sama ada kerana ideologi bidaah ataupun kehancuran institusi keluarga.
BERHATI-hati daripada menjadi asbab kepada perpecahan umat sama ada kerana ideologi bidaah ataupun kehancuran institusi keluarga.
Dr Mohd Hafidz Soroni

PADA siri lalu sudah disentuh mengenai kemunculan fitnah tanduk syaitan. Antara pelbagai fitnah besar yang berlaku itu sebagaimana yang dikhabarkan dalam banyak hadis Nabi SAW ialah fitnah perselisihan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Nabi SAW bersabda: "Aku mewasiatkan kepada kamu sekalian supaya bertakwa kepada Allah, sentiasa taat dan dengar meskipun yang memerintah adalah seorang hamba habsyi. Sesungguhnya orang yang hidup sesudahku daripada kalangan kamu sekalian akan melihat perselisihan yang banyak. Maka, hendaklah kamu sekalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang benar lurus lagi mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu. Dan berwaspadalah kamu sekalian dengan perkara-perkara yang baharu (dalam urusan agama) kerana setiap perkara yang baharu adalah bidaah dan setiap bidaah pula adalah sesat." (Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis sahih)

Perselisihan dan perpecahan umat Islam memang tidak dapat dielakkan kerana ia adalah perkhabaran daripada Nabi SAW, bukan ramalan Baginda. Bagaimanapun, Baginda sudah memberikan cara untuk selamat daripadanya iaitu berpegang dengan sunnahnya, temasuk sunnah al-Khulafa' ar-Rasyidin. Maka, mereka yang berpegang dengannya dipanggil sebagai 'Ahli Sunnah' manakala mereka yang berpaling daripadanya dipanggil sebagai 'Ahli Bidaah'.

Ini menunjukkan perpecahan yang berlaku bukan disebabkan perselisihan dalam masalah furuk dan cabang, tetapi dalam masalah usul dan pokok. Jika sekadar masalah furuk dan cabang, maka ini juga berlaku dalam kalangan sahabat, tabiin, salaf dan imam mujtahidin, namun tiada yang membidaahkan antara satu sama lain kerananya. Perbezaan pendapat antara imam mujtahid misalnya tidak mengeluarkan mereka daripada daerah Ahli Sunnah.

Ada pun perbezaan pendapat yang boleh mengeluarkan seseorang dari daerah Ahli Sunnah ialah berpunca daripada masalah usul dan pokok. Daripada aspek ini munculnya banyak fahaman Ahli Bidaah seperti Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Jahmiyyah, Mujassimah, Musyabbihah, Batiniyyah dan sebagainya. Bagaimanapun, berkat usaha gigih ulama, majoriti umat Islam dari dahulu sehingga kini tetap berpegang teguh dengan fahaman Ahli Sunnah.

Fitnah perpecahan juga disebut secara khusus datang dari arah timur. Kata Ibnu 'Umar RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW dalam keadaan menghadap ke arah timur bersabda: "Ketahuilah, sesungguhnya fitnah itu di sini, di mana munculnya tanduk syaitan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Secara spesifik, Iraq dan Najd disebut sebagai tempat munculnya fitnah terbabit seperti yang dijelaskan dalam siri lalu.

Sejarah merekodkan terdapat banyak fitnah yang berlaku di Iraq seperti berlakunya Perang al-Jamal tahun 36H, Perang Siffin tahun 37H, pembunuhan Saidina Husain RA tahun 61H, kemunculan fahaman Syiah dan Khawarij. Begitu juga fitnah yang berlaku di Najd seperti kemunculan golongan murtad selepas kewafatan Nabi SAW, dakwaan nabi palsu Musailamah al-Kazzab yang membawa Perang al-Yamamah tahun 12H, fitnah puak Qaramitah antara tahun 317-339H dan gerakan takfir Wahhabiyyah antara tahun 1157H hingga kini.

Jika diamati, tidak hairan fitnah ini dikaitkan dengan syaitan kerana kesannya sangat berbahaya dan membawa mudarat yang amat serius terhadap umat Islam. Mungkin dapat dinyatakan bahawa antara agenda syaitan yang paling besar ialah memecahbelahkan umat Islam. Justeru, diangkat kata-kata yang kelihatan menjunjung kebenaran, namun hakikatnya mengandungi kebatilan seperti kata golongan Khawarij: "Tiada hukum melainkan hanya bagi Allah" atau kata ekstrimis Wahhabiyyah: "Nak ikut Nabi ke, nak ikut ‎ulama?

Tentunya syaitan amat gembira dengan perpecahan umat ini, sebagaimana syaitan yang paling disayangi iblis ialah yang berjaya memecahbelahkan rumah tangga. Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian dia mengirim bala tenteranya. Maka, ‎kedudukan tenteranya yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. ‎Salah satu di antara mereka datang lalu berkata: 'Aku telah melakukan ini dan itu.' Lalu iblis ‎menjawab: 'Kamu tidak melakukan apa-apa pun.' Kemudian salah satu yang lain datang dan ‎berkata: 'Aku tidak meninggalkannya sehinggalah aku dapat memisahkannya dengan isterinya.' ‎Mak iblis pun menyuruhnya dekat dengannya dan berkata: 'Kamulah yang sebaik-‎baiknya.'" (Riwayat Muslim)

Justeru, berhati-hati daripada menjadi asbab kepada perpecahan umat sama ada kerana ideologi bidaah ataupun kehancuran institusi keluarga. Berpegang teguh dengan sunah Nabi SAW dan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang merupakan pegangan majoriti besar ulama Islam muktabar.

Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 5:59 AM