USAH lepaskan peluang menggandakan amal ibadat pada bulan ini.
USAH lepaskan peluang menggandakan amal ibadat pada bulan ini.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Kita sekali lagi dapat bertemu dengan bulan penuh kemuliaan iaitu Ramadan dan pastinya fokus sepanjang bulan ini serta bulan seterusnya adalah menggandakan ibadah.

Ramadan umpama madrasah kepada kita semua sama ada dalam memperbaiki amal ibadah, mahupun memperbaiki perlakuan, pertuturan dan bulan ini juga mendidik kita semua untuk menjadi umat Islam yang berusaha mencari reda Allah SWT.

Antara keistimewaan besar Ramadan ialah Allah SWT melepaskan dalam bulan ini ramai orang daripada api neraka. Selain kerana keluasan rahmat Allah SWT, ia mungkin disebabkan ibadah puasa yang mereka laksanakan dengan benar-benar ikhlas itu diterima oleh-Nya, di samping amal soleh lain dilakukan pada bulan mulia.

Jabir RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah Azza Wa Jalla ketika setiap waktu berbuka orang yang dibebaskan (daripada api neraka) dan demikian berlaku pada setiap malam." (Riwayat Ibn Majah dengan sanad hasan)

Hadis yang mempunyai maksud yang sama turut diriwayatkan daripada Abu Umamah RA (Riwayat Ahmad dengan sanad hasan) dan juga Abu Hurairah RA (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Baihaqi). Semua hadis ini jelas menunjukkan terdapat orang yang dilepaskan daripada api neraka pada setiap malam Ramadan.

Namun, tidak dinyatakan dalam hadis berkenaan jumlahnya secara jelas.

Bagaimanapun, amal kebajikan serta menjaga perilaku bukan hanya tertakluk hanya pada Ramadan semata-mata sebaiknya, ia diteruskan untuk bulan-bulan akan datang.

Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS), Dr Mohd Khafidz Soroni menukilkan terdapat dalam beberapa hadis daif yang menyebut bilangan orang yang dilepaskan itu.

Satu daripadanya menyebut bilangannya setiap hari ialah satu juta orang manakala hadis yang lain menyebut bilangannya setiap hari ialah 60,000 orang. Oleh kerana perkara ini hanya berkaitan at-targhib wat tarhib (galakan dan ancaman), hadis daif seperti ini boleh sahaja digunakan. Tidak menjadi kesalahan sebenarnya bagi penceramah atau pendakwah untuk menyebut dengan lafaz tamridh (ketidakpastian) mana-mana bilangan itu bagi memberi galakan kepada masyarakat untuk giat beramal ibadah.

Bahkan, tokoh 'ilal hadis tersohor, al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata'if al-Ma'arif pernah menjadikan satu daripadanya sebagai penjelasan lanjut kepada hadis yang berbunyi: "Ia (Ramadan) adalah bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan daripada api neraka." Meskipun hadis daif ini dikatakan bercanggah dengan dalil yang menunjukkan 'seluruh Ramadan itu adalah rahmat, keampunan dan kebebasan daripada api neraka', namun al-Hafiz Ibn Rajab melihat matan hadis berkenaan boleh dijelaskan dengan tafsiran yang munasabah dan tidak bercanggah.

Mohd Khafidz dalam satu tulisannya menyatakan dalam mengulas frasa hadis: 'akhirnya, kelepasan daripada api neraka', Ibn Rajab berkata: "Adapun akhir bulan, maka akan dilepaskan daripada api neraka orang yang dirantai oleh dosanya dan patut masuk ke neraka kerana melakukan dosa besar. Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas RA: 'Ada bagi Allah pada setiap malam daripada Ramadan ketika waktu berbuka satu juta orang yang dilepaskan daripada api neraka, yang setiap mereka patut masuk ke neraka. Apabila tiba malam terakhir Ramadan pula, Allah akan melepaskan pada hari itu sebanyak bilangan yang Dia telah bebaskan dari awal hinggalah akhir bulan'. Ia dikeluarkan oleh Salamah bin Syabib dan lain-lain."

Menurut takhrij al-Hafiz al-Munziri dalam at-Targhib wa at-Tarhib: "Ia diriwayatkan oleh Abu as-Syaikh Ibn Hayyan dalam kitab at-Thawab dan al-Baihaqi serta tiada pada sanadnya perawi yang disepakati sebagai daif.

"Apa yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Rajab ialah walaupun setiap hari Ramadan terdapat orang yang dilepaskan daripada api neraka, namun bilangan mereka berlipat kali ganda ramainya pada akhir Ramadan sesuai dengan frasa: 'akhirnya, kelepasan daripada api neraka.'

Walaupun status hadis Ibn Abbas RA itu daif, namun praktis Ibn Rajab menunjukkan hadis daif boleh digunakan sebagai penjelasan kepada hadis yang sedang dibicarakan.

"Pada riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman pula disebutkan bahawa pada setiap malam Ramadan seramai 60,000 orang yang dilepaskan daripada api neraka. Apabila tiba hari Aidilfitri pula jumlah itu digandakan sebanyak 30 kali ganda. Namun, pada sanad hadis terdapat perawi yang dipertikaikan kredibilitinya iaitu Nasyib bin Amr as-Syaibani," tulisnya.

Berdasarkan pandangan Mohd Khafidz, tidak salah bagi penceramah atau pendakwah yang tidak ahli dalam seni hadis untuk bertaklid dengan penilaian al-Hafiz al-Munziri ini. Walaupun al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan dalam Lisan al-Mizan, ia tambahan munkar (yakni riwayat perawi daif menyalahi riwayat perawi thiqah), tetapi dalam Mukhtasar al-Targhib wa al-Tarhib hasil susunannya, beliau masih tetap memuatkan hadis ini dan tidak membuangnya kerana beliau tahu fungsinya sebagai at-targhib wat tarhib sahaja!

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 6:01 AM