FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Mohd Khafidz Soroni

Secara asas, hanya hadis sahih dan hasan dapat dijadikan sandaran hukum manakala hadis daif tidak diterima untuk dijadikan hujah. Bagaimanapun, majoriti ulama bersepakat menyatakan harus beramal dengan hadis daif selama tidak berkaitan dengan aspek hukum dan akidah. Selagi hadis itu tidak disepakati palsu dan masih tertakluk di bawah lingkungan syarak, harus beramal dengannya menurut syaratnya.

Antara skop yang diharuskan ialah berkaitan kelebihan amalan (fadha'il al-a'mal), memberi galakan atau ancaman (at-targhib wa at-tarhib), sirah nabawiyyah, doa, zikir, sejarah dan seumpamanya.

Oleh itu, ulama sejak dahulu tidak melarang umat Islam daripada beramal dengan hadis daif. Malah, hadis daif dari segi istilah bukanlah bermaksud hadis lemah, tetapi hadis yang tidak memenuhi syarat hadis sahih dan hasan. Disebabkan itulah, ulama turut meriwayatkan dan mencatatkan hadis daif ini di dalam kitab mereka.

Terdapat banyak karya yang membincangkan di dalamnya kelebihan ibadat puasa dan amalan di sekitarnya seperti kitab at-Targhib wa at-Tarhib oleh Qawwam as-Sunnah al-Asbahani (wafat 535H) dan at-Targhib wa at-Tarhib oleh Imam al-Munziri (wafat 656H).

Namun, yang hendak dibicarakan kali ini ialah karya yang dikarang khusus mengenai kelebihan puasa terutama puasa Ramadan dan semua yang berkaitannya seperti solat sunat Tarawih.

Antara kitab terawal dikarang khusus mengenainya ialah kitab Fadha'il Syahr Ramadhan oleh Imam Ibn Abi ad-Dunya (wafat 281H) yang di dalamnya terdapat 63 hadis dan athar.

Kedua, kitab Qiyam Ramadhan oleh Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi (wafat 294H). Kitab ini diringkaskan oleh Imam al-Maqrizi (wafat 845H) dengan cara membuang hadis yang berulang. Kini hanya ringkasan al-Maqrizi ini yang ada manakala kitab asal tidak dijumpai. Terdapat 299 hadis dan athar yang diriwayatkan di dalamnya.

Ketiga, kitab as-Siyam oleh Imam al-Firyabi (wafat 301H). Terdapat di dalamnya 192 hadis dan athar termasuk bilangan hadis yang berulang.

Keempat, kitab Fadha'il Syahr Ramadhan oleh Imam Ibn Syahin (wafat 385H). Judul penuh kitab ini agak panjang yang terjemahannya: "Kelebihan Ramadan, segala hukum dan ilmu mengenainya, kelebihan orang yang berpuasa Ramadan dan ancaman terhadap orang yang tidak berpuasa padanya secara sengaja tanpa sebarang keuzuran." Terdapat
di dalamnya 36 hadis.

Kelima, kitab Fadha'il Ramadhan oleh Imam Abd al-Ghani al-Maqdisi (wafat 600H) yang terdapat 66 hadis di dalamnya.

Keenam, Juz' fihi Ahadith Syahr Ramadhan oleh al-Hafiz Abu al-Yumn Ibn 'Asakir (wafat 686H) yang meriwayatkan 30 hadis dan athar di dalamnya. Meskipun beliau daripada kalangan ulama abad ke-7H, hadisnya masih diriwayatkan secara bersanad.

Semua karya di atas adalah antara karya klasik yang hadisnya diriwayatkan lengkap secara bersanad dan mencakupi hadis sahih, hasan serta daif.

Adapun karya ulama yang membahaskan ibadat Ramadan tanpa dibawakan hadisnya secara bersanad, bilangannya cukup banyak. Antara yang dapat disebutkan daripada karya ulama mazhab Hanafi ialah kitab Fadha'il Ramadhan oleh Imam Abu al-Laith as-Samarqandi (wafat 373H) dan Fadhilat Ramadhan oleh Maulana Zakariya al-Kandahlawi (wafat 1402H).

Daripada karya ulama mazhab Maliki pula ialah kitab Fadha'il Syahr Ramadhan oleh al-Allamah Ali al-Ujhuri (wafat 1066H) iaitu syeikh ulama mazhab Maliki pada zamannya. Sebuah lagi, kitab Is'af Ahl al-Iman bi Waza'if Syahr Ramadhan oleh al-'Allamah Hasan al-Massyat (wafat 1399H).

Antara karya ulama mazhab Syafie ialah kitab Fawa'id as-Saum atau Maqasid as-Saum oleh Imam Ibn 'Abd as-Salam (wafat 660H), kitab Madarik al-Maram fi Masalik as-Siyam oleh Imam Qutb ad-Din al-Qastallani (wafat 686H) dan kitab Ithaf Ahl al-Islam bi Khususiyat as-Siyam oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (wafat 995H).

Antara karya ulama mazhab Hanbali pula ialah kitab Bughyat al-Insan fi Waza'if Ramadhan oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali (wafat 795H) yang dikeluarkan daripada kitab asalnya, Lata'if al-Ma'arif.

Jelaslah berdasarkan penelitian, semua ulama yang disebutkan termasuk ulama daripada empat mazhab yang muktabar tidak mengetepikan hadis daif di dalam karya mereka. Ini membuktikan mereka cukup memahami hukum dan peranan yang boleh dimainkan oleh hadis daif dalam memberikan keluasan yang dibenarkan syarak serta motivasi berkesan bagi melaksanakan sesuatu amalan atau meninggalkan kemungkaran.

Namun, yang menghairankan, terdapat segelintir orang pada zaman mutakhir ini yang bukan saja menolak hadis daif secara total, malah mengeji mereka yang mengikuti ulama berkenaan dalam mengamalkannya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 11:21 AM