MADINAH dan Makkah adalah dua tempat terlarang bagi Dajal. FOTO SPA / AFP
MADINAH dan Makkah adalah dua tempat terlarang bagi Dajal. FOTO SPA / AFP
Musytaq al Sha'ari

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat seorang lelaki yang bernama Tamim ad Dari telah memberitahu kepada Baginda SAW bahawa beliau menjumpai al Masih Dajal di sebuah kepulauan tempat terbenamnya matahari.

Saat beliau bertemu dengan al Masih Dajal, beliau ditanya beberapa soalan kepadanya. Kisah ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis yang panjang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qais RA. Persoalan yang ditanya oleh al Masih Dajal kepada Tamim ad Dari ialah:

Dajal: "Beritahu kepada aku tentang pokok kurma yang ada di Daerah Baisan"

Tamim ad Dari: "Apa yang kamu ingin tahu tentangnya?"

Dajal: "Aku ingin tahu sama ada pokok kurma itu sudah berbuah ataupun tidak"

Tamim ad Dari: "Ya"

Dajal: "Adapun pokok kurma itu, maka hampir saja tidak akan berbuah lagi. Beritahu kepada aku tentang sebuah tasik bernama Galilee."

Tamim ad Dari: "Apa yang kamu ingin tahu tentangnya?"

Dajal: "Apakah ia masih tetap mempunyai air"

Tamim ad Dari: "Airnya masih banyak"

Dajal: "Adapun airnya, maka hampir sahaja akan habis. Beritahu kepada aku tentang mata air Zugar"

Tamim ad Dari: "Apa yang kamu ingin tahu tentangnya?"

Dajal: "Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?"

Tamim ad Dari: "Benar, ia berair dengan banyak dan penduduknya bertani menggunakan air mata tersebut"

Dajal: "Beritahu kepada aku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh menulis dan membaca), apakah yang dia telah lakukan?"

Tamim ad Dari: "Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah)"

Dajal: "Apakah dia ditentang oleh orang-orang Arab?"

Tamim ad Dari: "Ya"

Dajal: "Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?"

Maka kami (Tamim ad Dari) memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya.

Lalu ia berkata: "Apakah itu semua telah berlaku?"

Kami menjawab: "Ya"

Dajal: "Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka itu mentaatinya (Nabi) dan sesungguhnya aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al Masih Dajal. Dan sesungguhnya aku hampir sahaja dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi ini dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa empat puluh malam selain Makkah dan Thaibah (Madinah). Kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu daripada negeri itu, maka aku akan dihalang oleh Malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangatlah tajam untuk menghalau aku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah, terdapat beberapa malaikat yang menjaganya."

Selepas sahaja Nabi Muhammad SAW bercerita tentang kisah Tamim ad Dari bertemu dengan Dajal, Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkat Baginda di atas mimbar: "Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (iaitu Kota Madinah). Bukankah aku sudah memberitahu kepada kamu tentang perkara itu?"

Para sahabat Nabi SAW menjawab: "Benar"

Baginda SAW bersabda: "Aku tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Tamim ad Dari kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur." Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya kepada arah Timur." (Hadis Riwayat Muslim)

Perceritaan seperti ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan umat Islam, bahkan ia adalah sebagai peringatan buat kita agar kita mendapat kesedaran untuk melakukan persiapan diri bagi menghadapi fitnah akhir zaman khususnya fitnah al Masih Dajal. Semoga kita semua dipelihara oleh Allah SWT daripada fitnah dunia dan akhirat. Wallahu'alam.

Penulis pendakwah bebas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 7:00 AM