LAFAZ ridwan itu diguna khusus semata-mata untuk menunjukkan reda Allah SWT yang paling besar.
LAFAZ ridwan itu diguna khusus semata-mata untuk menunjukkan reda Allah SWT yang paling besar.
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

MATLAMAT akhir bagi segala usaha dan pekerjaan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mencapai keredaan Allah SWT (mardhatillah). Sebenarnya, dengan keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Asas keredaan itu adalah berdasarkan perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, yakni perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis.

Sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberinya pertolongan dan perhatian-Nya. Dengan ini, ia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.

Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya sahaja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia, sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaannya jika mereka adalah orang-orang yang Mukmin."  (Surah al-Taubah ayat 62).

Sebenarnya usaha untuk mendapatkan keredaan Allah SWT ini bukanlah sesuatu yang mudah dan dipandang ringan. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya." (Surah al-Baqarah ayat 207)

Menurut al-Tabari dalam tafsirnya  Jami' al-Bayan 'an Ta'wil al-Quran, orang-orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT, mereka sanggup membeli dirinya (yasyri nafsahu) dengan segala harta dan kesenangan hidup dunia semata-mata untuk membebaskan diri daripada bergantung harap kepada sesuatu selain Allah SWT. Dalam perkataan lain, segala harta sanggup dikorbankan demi untuk menyerahkan dirinya semata-mata kepada Allah SWT dan tidak mengharapkan sesuatu apa pun di sebaliknya.

Bagi menjelaskan lagi tentang maksud ayat 207 Surah al-Baqarah ini, Ibn Kathir dalam tafsirnya iaitu  Tafsir al-Qur'an al-'Azim  menyatakan terdapat beberapa riwayat peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat ini. Antaranya yang diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas, Anas, Sa'id bin al-Musayyab, Abu 'Uthman al-Nahdiy, 'Ikrimah dan beberapa orang yang lain bahawa ayat ini diturunkan mengenai Suhayb bin Sinan al-Rumi. Setelah dia memeluk Islam di Makkah dan mahu berhijrah ke Madinah, maka orang-orang Kafir Quraisy menghalanginya daripada berhijrah ke Madinah dengan membawa harta kekayaannya. Sekiranya dia sanggup menyerahkan segala harta kekayaannya kepada mereka, barulah ia dapat berhijrah. Lalu dia pun membebaskan dirinya dengan menyerahkan semua harta kekayaannya kepada mereka.

Berhubung peristiwa inilah turunnya ayat Surah al-Baqarat (2:207) ini. Sebaik tiba di Madinah, 'Umar bin al-Khattab RA dan sekumpulan umat Islam menyambutnya hingga ke perbatasan al-Harrah. Di sana mereka berkata kepadanya: "Beruntunglah perniagaan kamu", lalu dia pun berkata: "Kamu juga beruntung semoga Allah SWT tidak merugikan perniagaan kamu, tetapi apakah kisahnya?" Lalu mereka pun memberitahunya bahawa Allah SWT telah menurunkan ayat mengenai peristiwa ini. 

Jelas di sini keredaan Allah SWT itu kemuncak pengharapan manusia dan merupakan suatu nikmat Allah SWT yang paling besar dan utama. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga 'Adn serta keredaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar ." (Surah al-Taubah ayat 72)

Setakat yang ditemui, para ulama tafsir seperti al-Tabari, Ibn Kathir, al-Suyuti, al-Qurtubi, Syed Qutb dan al-Zuhayliy mengatakan keredaan Allah SWT itu lebih besar daripada nikmat yang lain seperti nikmat syurga yang mengalir di bawah sungai-sungai dan tempat-tempat yang indah-indah dalam syurga. Keredaan Allah SWT itulah merupakan sebab seseorang hamba mendapat kejayaan dan kebahagiaan. Di samping itu, ia juga mempamerkan kebahagiaan rohani atau  ma'nawiyyah  itu lebih mulia dan utama daripada kebahagiaan jasmani atau  mahsusah.

Tafsiran ulama tafsir tentang ungkapan  ridwan min Allah akbar  (keredaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya) seperti yang dikemukakan sebelum ini, adalah berdasarkan tiga hadis Rasulullah SAW iaitu:

Dirwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudriy RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman kepada penghuni syurga: Wahai penghuni syurga! Penghuni syurga menjawab: Baik, kami penuhi panggilanMu. Allah berfirman: "Telah puaskah kalian? Mereka menjawab: Bagaimana mungkin kami tidak puas, sedangkan Engkau telah memberi kepada kami sesuatu yang belum pernah Engkau berikan kepada seorang pun daripada makhlukMu". Maka Allah berfirman: "Sekarang Aku berikan kepada kamu semua sesuatu yang lebih utama daripada itu. Kemudian penghuni syurga bertanya: "Ya Allah! Apa yang lebih utama daripada semua itu?" Allah berfirman: "Aku halalkan keredaan-Ku untuk kamu semua, dan Aku tidak memurkai kamu semua buat selama-lamanya." (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga, Allah SWT bertanya kepada mereka: "Adakah kamu menghendaki aku menambah sesuatu kepada kamu semua? Ahli-ahli syurga berkata: Wahai Tuhan kami! Adakah masih ada sesuatu yang belum Engkau anugerahkan kepada kami? Allah SWT menjawab: "Ya! Masih ada, iaitu reda-Ku (yang dihalalkan untuk kamu semua) dan Aku tidak memurkai kamu buat selama-lamanya." (al-Suyuti, 2003)

Diriwayatkan daripada Ibn Abi Hatim daripada Abi 'Abd al-Malik al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ahli syurga yang mendapat nikmat keredaan Allah SWT itu adalah lebih mulia daripada semua nikmat yang terdapat di dalam syurga-syurga." (al-Suyuti, 2003:7:441)

Selain menyatakan keredaan Allah SWT itu merupakan nikmat yang paling besar dan mulia, hadis-hadis ini terutamanya hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA dan Abu 'Abd al-Malik al-Juhani RA secara zahirnya menunjukkan nikmat keredaan Allah SWT itu dianugerahkan setelah ahli-ahli syurga mendapat nikmat-nikmat lain. Di sini timbul pula persoalan, adakah ahli-ahli syurga itu mendapat segala nikmat lain tanpa reda Allah SWT? Untuk merungkaikan persoalan ini, pandangan al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya  Mufradat Alfaz al-Quran  akan diguna pakai. Menurut beliau, lafaz  ridwan  itu diguna khusus semata-mata untuk menunjukkan reda Allah SWT yang paling besar. Berdasarkan pandangan al-Raghib al-Asfahani, ini, dapatlah disimpulkan reda Allah SWT itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu reda Allah SWT yang kecil dan reda Allah SWT yang besar. Dengan reda Allah SWT yang kecil itulah ahli syurga itu dimasukkan ke dalam syurga, manakala reda Allah SWT yang besar dan paling kemuncak itu adalah  ridwan   dianugerahkan kepada ahli syurga setelah mereka mendapat nikmat lain.

Dalam perkataan lain, Hamka dalam  Tafsir al-Azhar  menyatakan, apabila manusia mendapat nikmat syurga dengan segala macam keindahannya, seperti sungai-sungai yang mengalir, kebun-kebun yang terbentang luas dan buah-buahannya yang lazat-lazat, kemudian ia dilengkapi pula dengan nikmat keredaan Allah SWT, maka bermakna seseorang manusia itu telah mencapai matlamat tertinggi yang diperjuangkan semasa hidup di dunia ini. Di sini bergabunglah nikmat  ma'nawiyyat  (yang dapat dirasakan dengan jiwa) dan nikmat  mahsusah  (yang dapat dirasai dengan badan).

Nikmat  ma'nawiyyah  itu (reda Allah SWT) cukup besar. Buktinya ialah semua nikmat yang berbentuk  mahsusah (syurga dan segala keindahannya) itu tidak mempunyai sebarang erti jika reda Allah SWT itu tidak ada. Untuk membuktikan perkara ini, Hamka dalam tafsirnya ada memetik kata-kata Rabi'ah al-'Adawiyah yang berbunyi: "Bagiku reda Allah itulah yang aku harapkan. Adapun di mana aku hendak ditempatkan, asalkan Reda Allah itu ada, aku tidak memilih."  

Berdasarkan perbincangan ini, boleh dirumuskan keredaan Allah SWT itu merupakan matlamat akhir segala bidang yang manusia usahakan. Kesan daripada mendapat keredaan Allah SWT ini, manusia akan mendapat  al-falah  di penghujungnya.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 5:59 AM