UMAT Islam meyakini hanya Allah yang berkuasa dalam menyampaikan hajat yang dimohon melalui doa.
UMAT Islam meyakini hanya Allah yang berkuasa dalam menyampaikan hajat yang dimohon melalui doa.

PADA siri lalu dijelaskan mengenai kedudukan tawassul sebagai usaha dan ikhtiar sahaja bagi mencapai sesuatu hajat, dengan keyakinan bahawa yang mampu memberi kesan (ta'thir) padanya hanyalah Allah SWT. Berdasarkan banyak dalil, majoriti ulama Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) mengharuskan bertawassul dengan sekalian Nabi AS dan solihin yang meninggal dunia sebagai asbab atau perantara sahaja tanpa meyakini mereka itu boleh memberi manfaat serta mudarat. Ini kerana kuasa atau kudrat yang ada pada makhluk tidak berasingan dan tidak dapat memberi apa-apa kesan melainkan Allah SWT yang menciptakan kesan tersebut di sisinya dan bukan menciptakan kesan itu melaluinya.

Demikian juga amalan beristighathah. Namun, golongan Wahhabi sering mengaitkan tawassul dan istighathah ini dengan perbuatan syirik serta bidaah. Maka, orang yang bertawasul dan beristighathah dianggap melakukan perbuatan syirik serta layak digelar sebagai musyrik, penyembah kubur dan seumpamanya. Sekalipun ia berakidah ASWJ yang memahami maksud sifat kudrat Allah SWT dalam Sifat 20 yang turut dicemuh oleh golongan Wahhabi. Kesyirikan ini dianggap amat serius oleh mereka, malah ada yang menyebutnya sebagai as-syirk al-akbar (syirik besar) yang patut diperangi habis-habisan.

Padahal as-syirk al-akbar ini menjadikan seseorang itu kafir dan terkeluar daripada Islam. Ini kerana ia melanggar perkara yang sudah maklum secara darurat dalam agama, iaitu dengan menetapkan sifat ketuhanan kepada selain Allah SWT. Perbuatan syirik menyekutukan Allah SWT adalah dosa yang menyebabkan pelakunya kekal dalam api neraka kerana ia satu-satunya dosa tidak akan diampuni oleh-Nya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar." (Surah an-Nisa: 48)

Abdullah bin Mas'ud RA meriwayatkan: "Aku bertanya Rasulullah SAW: "Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?" Baginda menjawab: 'Kamu mengadakan sekutu bagi Allah (mensyirikkan-Nya), sedangkan Dialah yang menciptakanmu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain as-syirk al-akbar, terdapat as-syirk al-asghar (syirik kecil), iaitu sifat riyak yang boleh menyebabkan pelakunya dihumban ke api neraka, namun ia tidak menjadikan seseorang itu kafir dan terkeluar daripada Islam. Daripada Mahmud bin Labid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang paling aku takutkan terhadap kamu sekalian adalah syirik kecil." Mereka bertanya: "Apa itu syirik kecil, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Riyak (menunjuk-nunjuk)." (Riwayat Ahmad dengan sanad baik)

Termasuk jenis ini ialah mempercayai wujudnya kuasa atau kudrat berasingan pada makhluk, justeru makhluk boleh memberi kesan (ta'thir) manfaat atau mudarat tanpa ada campur tangan daripada Allah SWT, sebagaimana fahaman Qadariyyah. Kepercayaan ini dihukum bidaah dan sesat, namun tidak dihukumkan kafir dan terkeluar daripada Islam disebabkan orang yang berfahaman demikian biasanya mempercayai asal kuasa atau kudrat itu diciptakan oleh Allah SWT. Termasuk jenis ini perkara yang disebut oleh Rasulullah SAW: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan pelet (sihir pengasih) itu adalah syirik." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah. Hadis sahih)

Meskipun seseorang itu melakukan pelbagai dosa maksiat dan mungkar selain daripada as-syirk al-akbar, kita hanya boleh menyatakannya sesat, bidaah atau fasik sahaja dan tidak boleh menghukumnya sebagai kafir dan terkeluar daripada Islam. Masalah ini cukup ditekankan oleh ulama ASWJ. Menurut Imam al-Ghazali dalam Faisal al-Tafriqah baina al-Islam wa az-Zandaqah, batas kufur yang jelas ialah jika mendustakan sesuatu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam perkara yang berkaitan dengan usul (dasar) akidah dan iman, tidak termasuk yang berkaitan dengan hal furuk melainkan sekiranya ia mutawatir.

Maka, adakah orang yang bertawassul dan beristighathah benar-benar telah mendustakan usul (dasar) akidah dan iman? Dalam bahagian syirik mana golongan Wahhabi mahu mengkategorikan orang ASWJ yang bertawasul dan beristighathah? Insaflah serta janganlah sewenang-wenangnya kita menuduh seseorang Muslim itu musyrik atau kafir tanpa bukti yang jelas. Ini kerana diri setiap Muslim itu secara asasnya adalah terpelihara dalam agama Islam kerana Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menunaikan solat kami, menghadap ke arah kiblat kami dan memakan sembelihan kami maka dia adalah seorang Muslim yang memiliki perlindungan daripada Allah dan Rasul-Nya. Maka, janganlah kamu sekalian menderhakai Allah dengan mencerobohi perlindungan-Nya." (Riwayat al-Bukhari)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 5:59 AM