FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Matahari terbit dari timur dan terbenam di barat adalah kebiasaan yang dilihat oleh semua manusia pada setiap hari. Terbitnya matahari dari timur menandakan bermulanya ibadah solat iaitu Subuh diikuti solat Zuhur apabila gelincir matahari ke arah barat. Kemudian Asar dan solat Maghrib apabila terbenam matahari di barat. Solat Isyak pula apabila hilangnya cahaya matahari dari langit bumi.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Maha Berkat Tuhan yang menjadikan di langit tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi." Surah al-Furqan ayat 61

Namun di sebalik fenomena alam ciptaan Allah SWT dengan bumi mengelilingi matahari mengikut peredaran tertentu, Nabi SAW memberi peringatan yang besar buat umat baginda mengenai pertukaran arah terbitnya matahari apabila menjelang kiamat. Tanda ini merujuk kepada tanda besar kiamat apabila matahari akan terbit dari arah barat iaitu tempat terbenamnya ketika ini.

Persoalannya, kenapa perlu untuk mengetahui situasi matahari terbit dari barat sedangkan kiamatnya tidak diketahui bila akan berlaku?

Dalam hal ini, ada perkara besar yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Pada hari datangnya sebahagian tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." Surah al-An'am ayat 158

Ath-Thabari dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan tanda dalam ayat ini merujuk kepada terbitnya matahari dari arah barat.

Pada saat itu, tidak berguna lagi iman seseorang itu setelah matahari terbit dari barat. Tiada berguna lagi taubat yang dipanjatkan kepada Allah SWT. Maka, peringatan besar ini bertujuan agar umat akhir zaman tidak leka dengan dunia dengan bertangguh untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Jika disoroti, banyak hadis yang menjelaskan perihal matahari terbit dari barat. Ini menggambarkan pentingnya peringatan baginda kepada umatnya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: "Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." Hadith Riwayat al-Bukhari

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW berpesan agar bersegeralah melakukan amal soleh sebelum tibanya enam tanda kiamat dan satu daripadanya adalah terbit matahari dari barat. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datangnya enam perkara iaitu sebelum terbitnya matahari dari barat…" Hadith Riwayat Muslim

Apabila matahari terbit dari barat, tertutuplah pintu untuk beriman kepada Allah SWT. Bagi mereka yang belum bertaubat sebelum matahari keluar dari barat, perkara yang sama berlaku kepada mereka. Taubat mereka pada ketika itu sudah tidak diterima lagi oleh Allah SWT. Situasi ini akan dilihat oleh manusia yang hidup pada zaman itu sehingga mereka mula mengakui dan membenarkan Allah SWT yang tiada manfaat bagi mereka pada ketika itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, 'Kami hanya beriman kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan yang kami persekutukan dengan Allah.' Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka melihat seksa Kami. Itulah sunah Allah yang berlaku terhadap hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang kafir."

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ulama berkata, "Sesungguhnya iman seseorang itu tidak berguna bagi dirinya, (yang belum beriman sebelum itu) ketika matahari terbit dari barat. Ini disebabkan perasaan terlalu takut menusuk hati mereka sehingga mematikan segala nafsu syahwat yang bermaharajalela dalam diri. Pada ketika ini tubuh menjadi longlai dan keyakinan kiamat telah dekat bagaikan orang yang sedang menghadapi sakaratul maut, tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Maka taubat mereka pada saat ini sudah tidak diterima lagi oleh Allah seperti taubat orang yang sedang menghadapi sakaratul maut."

Ibnu Katsir berkata, "Apabila orang kafir mula beriman pada waktu itu, maka tidak diterima imannya. Adapun orang yang beriman sebelum itu dan beramal soleh, maka dia memperolehi kebaikan yang besar sekali. Tetapi jika ia suka berbuat dosa dan baru bertaubat pada waktu itu, taubatnya tidak diterima"

Sabda Nabi SAW maksudnya: "Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya." Hadith Riwayat Ahmad

Dalam hadith lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari hingga matahari terbit dari barat." Hadith Riwayat Muslim

Berdasarkan hadith itu, Rasulullah SAW menetapkan batas terakhir diterimanya taubat seseorang itu adalah sebelum matahari terbit dari barat. Ibnu Hajar dalam Fathul Bari menjelaskan banyak hadis yang menunjukkan pintu taubat tertutup saat matahari terbit dari barat sehingga datangnya hari kiamat.

Pintu taubat kepada Allah terbuka luas buat umat manusia sehingga pada saat nyawa berada pada halkum atau pada saat matahari terbit dari barat. Saat untuk bertaubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana kematian semakin mendekati manusia setiap detik. Mungkin kita tidak akan sempat untuk diperlihatkan dengan matahari terbit dari barat, namun saat kematian itu adalah kiamat kecil manusia. Oleh itu, sentiasalah mempersiapkan diri dengan bertaubat kepada Allah SWT agar kematian yang didambakan nanti adalah baik.

Fenomena yang tular apabila matahari kelihatan terbit dari sebelah utara adalah perkara yang berbeza dari tanda kiamat matahari terbit dari barat. Fenomena yang tular itu situasi yang saban tahun berlaku. Kegusaran masyarakat Islam mengenai peristiwa itu adalah baik sebagai peringatan untuk tidak leka dengan dunia dan sentiasa berusaha meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dan menjauhi segala perbuatan maksiat yang boleh membawa murka Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama,Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 8:24 AM