BAGI ahli tauhid yang waras, tiada unsur syirik pada rasa cinta dan takzim sedemikian.
BAGI ahli tauhid yang waras, tiada unsur syirik pada rasa cinta dan takzim sedemikian.
Dr Mohd Khafidz Soroni

KEKURANGAN kita mengenali Nabi SAW secara mendalam adakalanya menyebabkan kita memandang hambar terhadap sesuatu yang berkaitan dengan diri baginda.

Tidak seperti ulama terdahulu yang menunjukkan rasa cinta dan takzim yang cukup luar biasa terhadap baginda SAW, apatah lagi dalam mengikuti sunahnya.  

Ini bertepatan dengan tuntutan hadis Nabi SAW sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya lebih daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia lain." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Al-Qadhi 'Iyadh dalam kitabnya , al-Syifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa  menukilkan kata Imam Malik mengenai  Ayyub as-Sakhtiyani, seorang perawi hadis yang masyhur:  "Apabila disebutkan nama Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya." 

Kata Mus'ab bin 'Abdullah:  "Imam Malik  sendiri apabila disebutkan nama Nabi SAW akan berubah warna wajahnya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang yang duduk bersamanya.  Pada suatu hari, beliau ditanya mengenai hal itu, lalu jawabnya: "Sekiranya kamu semua melihat apa yang pernah aku lalui, nescaya kamu tidak akan hairan terhadapku seperti apa yang kamu lihat. Aku pernah melihat  Muhammad bin al-Munkadir yang merupakan penghulu qurra' namun hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadis pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

"Aku pernah melihat  Ja'far bin Muhammad al-Sadiq, seorang yang banyak  bergurau dan tersenyum namun apabila disebutkan di sisinya nama Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi pucat. Tidak pernah aku melihat beliau meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci. 'Abdul Rahman bin al-Qasim  pernah menyebut nama Nabi SAW, lalu kami melihat warna rupa wajahnya seolah-olah telah keluar darah daripadanya, lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

"Aku juga pernah datang kepada  'Amir bin 'Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya. Aku juga pernah melihat al-Zuhri, seorang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebutkan di sisinya nama Nabi SAW, beliau seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya. Aku juga pernah datang kepada  Safwan bin Sulaim, seorang daripada kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut nama Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus menangis sehingga semua orang akhirnya bangun dan meninggalkannya."

Mengulas akhlak a salaf terhadap Nabi SAW ini, al-Sakhawi dalam kitabnya,  al-Qawl al-Badi' menyebut: "Jika kamu amati benar-benar perkara ini, kamu akan mengetahui apa yang wajib ke atasmu daripada rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab serta tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda atau mendengar nama baginda yang mulia." 

Kata al-Qadhi 'Iyadh:  "Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta mempermulia dan mengagungkannya adalah satu perkara yang wajib, sama sebagaimana keadaan baginda masih hidup. Terutama ketika mengingati baginda, menyebut hadis dan sunahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya." 

Kata Abu Ibrahim al-Tujibi:  "Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut nama baginda SAW atau disebutkan nama baginda di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam tidak bergerak serta merasakan kehebatan baginda dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia berada di hadapan baginda serta beradab dengan adab yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita".

Baginda SAW pernah mengkhabarkan bahawa akan datang di akhir zaman sekumpulan umatnya yang berasa amat rindu untuk bertemu dengan baginda.

Sabdanya SAW: "Antara umatku yang paling cinta kepadaku ialah sekumpulan manusia yang akan datang sesudahku, yang mana seorang daripada mereka itu sanggup jikalau dia dapat melihatku dengan menggadaikan ahli keluarga dan hartanya." (Hadis Riwayat Muslim)  

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya akan datang sekumpulan orang dari kalangan umatku selepasku nanti, yang mana seorang daripada mereka itu sanggup jikalau dia mampu membayar dengan ahli keluarga dan hartanya untuk melihatku." (Hadis Riwayat al-Hakim)    

Rasa cinta dan takzim terhadap baginda SAW yang mendalam akan menyebabkan kita memandang tinggi terhadap apa jua yang berkaitan dengan diri baginda walaupun ia hanya lakaran capal dan falsafahnya.

Bagi ahli tauhid yang waras, tiada unsur syirik pada rasa cinta dan takzim sedemikian.

Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 9:24 AM