AZAN bukan hanya dilaungkan untuk menandakan waktu solat tapi juga disaran dalam keadaan tertentu termasuk musibah.
AZAN bukan hanya dilaungkan untuk menandakan waktu solat tapi juga disaran dalam keadaan tertentu termasuk musibah.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Sebahagian ulama menjelaskan bahawa laungan azan disyariatkan pada tahun pertama Hijrah berdasarkan hadis daripada Ibn Umar RA dalam suatu peristiwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Azan adalah antara syiar dalam agama Islam sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardu. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Al-Huwairith RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah seorang daripada kamu melaungkan azan." (Riwayat al-Bukhari)

Jumhur ulama dalam kalangan mazhab Imam al-Syafii menerangkan bahawa hukum azan dan iqamah bagi solat fardu adalah sunat muakkad atau sangat dituntut.

Lafaz azan terdiri daripada beberapa kalimah yang dilaungkan dua kali bagi setiap kalimah kecuali takbir pada awal azan yang disebut sebanyak empat kali dan lafaz kalimah tauhid hanya disebut sekali sahaja. Azan sentiasa kedengaran pada setiap masa di pelbagai lokasi berbeza di segenap pelosok dunia berdasarkan perbezaan waktu di negara masing-masing. Di semua Wilayah Persekutuan, laungan azan dapat didengari melalui corong pembesar suara di 89 masjid, 133 surau Jumaat dan 608 surau selain turut disiarkan di radio serta televisyen seluruh negara.

Kalimah yang terkandung di dalam lafaz azan adalah bersandarkan mimpi dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Abdullah bin Zaid RA dan Umar bin al-Khattab RA. Perkara itu dijelaskan dalam sebuah hadis yang panjang daripada Abdullah bin Zaid RA maksudnya: "Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. 'Lalu saya berkata: Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng itut? Katanya: Apakah kamu hendak lakukan? Saya menjawab: Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat. Dia berkata kembali: Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik? Saya jawab: Sudah tentu. Katanya: Sebutkanlah: Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar… (sehingga akhir azan). Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan: Allahuakbar, Allahuakbar… (hingga akhir iqamat). Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu baginda SAW bersabda: Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar…'" (Riwayat Abu Daud)

Ulama menyatakan bahawa melaungkan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar berpandukan dalil al-Quran dan sunah. Selain menandakan ketibaan waktu solat, laungan azan juga disarankan di dalam beberapa situasi seperti kelahiran bayi, memasuki rumah baharu, kebakaran, ribut petir atau suasana huru-hara bagi menjauhkan gangguan syaitan dan mententeramkan keadaan. Baru-baru ini tular cerita seorang pegawai bomba yang melaungkan azan di lokasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh Batang Kali sebagai salah satu ikhtiar memudahkan usaha pencarian. Menurut keterangan pegawai bomba itu, anggota operasi mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat mangsa berikutnya beberapa minit selepas beliau melaungkan azan.

Setiap maksud dalam lafaz azan mengandungi makna tersendiri yang meninggalkan kesan terhadap jiwa, pemikiran dan tingkah laku seorang Muslim. Seseorang yang memahami dan menghayati dengan sepenuh hati maksud kalimah itu akan memperoleh semangat dan motivasi, keinsafan, serta perasaan cinta yang mendalam kepada Allah SWT. Lantunan suara azan yang merdu pula dapat menjadi sarana dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Salah satu lafaz azan ialah kalimah yang bermaksud 'marilah menuju kejayaan (al-falah).' Seruan untuk mengecapi kejayaan begitu penting dalam kehidupan insan sehingga menjadi sebahagian kalimah dalam lafaz azan. Kalimah itu adalah seruan kepada umat Islam untuk meraih kebahagiaan dan kejayaan di dunia serta akhirat. Bagaimanapun, kejayaan itu hanya dapat dikecapi apabila menjadikan Allah SWT sebagai keutamaan dalam kehidupan kerana seruan itu didahului dengan lafaz seruan mendirikan solat.

Kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan menjadi dambaan dan impian setiap insan. Namun kejayaan yang sebenar sebagaimana diajarkan oleh agama merangkumi kesejahteraan di dunia dan akhirat seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka." Cici-ciri orang yang berjaya atau al-falah dinyatakan dalam al-Quran pada Surah al-Mukminun ayat 1-11 yang bermaksud "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan serta perkataan sia-sia, mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, merekalah orang yang melampaui batas dan mereka yang menjaga amanah serta janjinya dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya mereka itulah orang yang berhak mewarisi - yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya."

Suatu kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari sebuah universiti tempatan merumuskan bahawa kalimah al-falah di dalam al-Quran disebut sebanyak 40 kali dalam pelbagai bentuk yang merangkumi ciri-ciri seperti mendirikan solat, taat dan beramal soleh, bertakwa kepada Allah SWT, tidak makan riba, berjihad fi sabilillah, tidak minum arak, tidak berjudi, tidak mensyirikkan Allah SWT, tidak menilik nasib, bersyukur dengan nikmat Allah SWT, menjaga pandangan dan menutup aurat, berzikir kepada Allah SWT, beriman kepada perkara ghaib dan hari akhirat, bersedekah, beriman dengan kitab yang diturunkan, menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran, mentaati Rasulullah SAW, menunaikan zakat, bertaubat, menjauhi perbuatan yang sia-sia, tidak melakukan zina dan menunaikan amanah serta janji.

Justeru marilah kita menyahut seruan untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat atau al-falah sebagaimana yang terkandung di dalam laungan azan dengan menjadikan kesempurnaan akidah, ibadah dan akhlak sebagai teras utama dalam kehidupan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 6:00 AM