SETIAP kesukaran pasti diikuti dengan kemudahan yang didatangkan oleh Allah SWT.
SETIAP kesukaran pasti diikuti dengan kemudahan yang didatangkan oleh Allah SWT.
Mohd Shahrizal Nasir

Kehidupan di dunia yang sementara ini sememangnya penuh dengan ujian. Setiap orang pasti merasai ujian dalam kehidupan masing-masing. Orang kaya ada ujiannya, begitu juga dengan orang miskin. Orang bijak pandai juga berdepan ujian, tidak ketinggalan orang yang tidak memiliki sebarang kelulusan pendidikan. Hakikatnya, ujian dalam kehidupan mendewasakan perjalanan hidup. Setiap ujian yang dihadapi sebenarnya boleh menjadikan diri seorang insan menjadi lebih kuat dan tabah.

Dalam Islam, setiap Muslim pasti merasai ujian dalam hidup. Mana mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain ialah bentuk ujian yang diterima. Mungkin bagi sesetengah orang yang melihat ujian yang menimpa orang lain, ia tidaklah satu ujian yang besar, namun hakikatnya orang yang melalui saat ujian tersebutlah yang lebih mengetahui.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta."  (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ayat-ayat al-Quran tersebut menjelaskan fitrah orang beriman yang pasti akan diuji oleh Allah SWT. Bagi memastikan iman seseorang hamba itu benar-benar kukuh kepada Allah SWT, maka ujianlah yang dapat menentukannya. Ujian bukan sahaja dirasai oleh orang yang lemah dan miskin, kerana ia juga melanda orang yang kuat dan kaya. Inilah fitrah kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Sebenarnya ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT. Tidak ada tempat lagi yang selayaknya diharapkan pertolongan selain daripada kepada Allah SWT. Selain itu, apabila dihadirkan ujian kepada seseorang insan, maka antara perkara yang perlu disemat dalam diri ialah perlunya untuk bersabar. Sabar ialah perkara yang mudah untuk diungkap namun sukar untuk dipraktikkan tanpa iman yang kuat.

Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam mendepani urusan kehidupan dunia.  "Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya merupakan kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur, dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya."  (Hadis riwayat Muslim)

Apabila melalui ujian dalam kehidupan, selain daripada perlunya bersabar, setiap Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha agar ujian yang dihadapi itu berlalu dengan lancar. Umat Islam tidak boleh berasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian kehidupan. Jauh sekali untuk menyalahkan takdir Ilahi yang ditetapkan untuknya. Yakinlah bahawa setiap ujian akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya dengan
cara terbaik.

Kisah Maryam iaitu ibu nabi Isa AS merupakan satu contoh jelas betapa perlunya bersabar dan berusaha ketika melalui ujian dalam hidup. Maryam seorang wanita solehah yang sentiasa menjaga kehormatannya. Namun, beliau dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi ibu kepada seorang nabi untuk kaumnya. Maryam merupakan seorang insan baik yang telah berdepan ujian besar dalam kehidupannya.

Bayangkan seorang wanita yang baik tiba-tiba hamil dalam keadaan dirinya tidak bersuami. Beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan oleh kaumnya sendiri, sedangkan beliau tidak melakukan perkara yang dilarang. Maryam amat sedih dengan apa yang berlaku ke atasnya sehingga merasakan lebih baik dirinya mati agar keadannya itu dapat segera dilupakan oleh kaumnya.

Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang."  (Surah Maryam, ayat 23)

Walau bagaimanapun, dengan kesabaran dan rasa reda dalam diri, Allah SWT menganugerahkan pertolongan kepada Maryam pada saat ingin melahirkan kandungannya. Firman Allah SWT bermaksud:  "Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak."  (Surah Maryam, ayat 23-24)

Perhatikanlah situasi dialami oleh Maryam beradasarkan ayat-ayat al-Quran tersebut. Dalam keadaan Maryam seorang wanita yang baik dan menjaga kehormatannya, dia diberi ujian oleh Allah SWT dengan mempunyai kandungan tanpa memiliki suami. Dalam keadaan dirinya sakit ingin melahirkan kandungannya, dia membawa diri dan turut merasai kesakitan sepertimana keadaan wanita lain yang melahirkan anak.

Tatkala datang pertolongan daripada Allah SWT yang menyediakan untuk Maryam air dan buah tamar, Maryam diperintah untuk menggegarkan batang pohon tamar agar dia dapat makan buah-buahnya yang jatuh. Maha suci Allah SWT yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Pada saat Maryam ingin melahirkan seorang nabi dan bantuan datang bagi meringankan ujian yang ditanggung olehnya, namun dia masih tetap disuruh untuk berusaha untuk mengurus ujian dalam hidupnya. Boleh sahaja Allah SWT menghidangkan makanan terus kepada Maryam, namun dia diperintah untuk menggegarkan pohon tamar agar dapat dimakan buahnya.

Lihatlah betapa ujian yang datang daripada Allah SWT perlu diurus dengan usaha, bukan sekadar menunggu segalanya datang bergolek. Hal ini merupakan peringatan jelas yang dinyatakan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia lebih-lebih lagi yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa ujian datang untuk meningkatkan martabat seorang insan di sisi Tuhan. 

Allah SWT tidak akan sesekali meninggalkan hamba-Nya yang beriman dalam keadaan terus menerus menghadapi ujian kesusahan hidup. Setiap kesukaran pasti diikuti dengan kemudahan yang didatangkan oleh Allah SWT. Inilah janji Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran yang maksudnya:  "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."  (Surah al-Inshirah, ayat 5-6)


Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 6:00 AM