SETIAP musibah yang diturunkan Allah menguji ketakwaan dan keimanan hamba-Nya. - Gambar hiasan
SETIAP musibah yang diturunkan Allah menguji ketakwaan dan keimanan hamba-Nya. - Gambar hiasan
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Hujan adalah satu daripada rahmat Allah SWT yang diturunkan dari langit kepada semua makhluk-Nya di bumi. Penurunan hujan ini datang bersama keberkatan yang akan memberi manfaat yang besar kepada hamba-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Kami menurunkan daripada langit air yang berkat." Surah Qaf ayat 9

Ulama antaranya Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan air yang berkat itu merujuk kepada air hujan yang ada padanya kebaikan yang banyak kepada bumi. Dengan air itu kehidupan di bumi akan dapat hidup dan membiak dengan sempurna.

Umum mengetahui, hujan mempunyai musim yang tertentu berdasarkan perubahan angin di sesuatu kawasan dan tempat. Di Malaysia, Monsun Timur laut bertiup dari November hingga Mac yang membawa hujan lebat di kawasan pantai timur Semenanjung dan di kawasan barat Sarawak seperti dikhabarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Disebabkan situasi itu, curahan hujan di kawasan berkenaan mengalami peningkatan yang ketara sehingga menyebabkan berlaku banjir di kawasan yang rendah.

Penurunan hujan juga antara tanda kiamat yang dinyatakan Nabi SAW. Gambaran ini merujuk kepada curahan hujan yang lebat dengan sedikit tumbuh-tumbuhan yang hidup. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tidak akan datang hari kiamat sehingga langit menurunkan hujan yang tidak terlindung daripadanya rumah yang diperbuat daripada tanah dan tidak ada yang terlindung daripadanya melainkan rumah yang diperbuat daripada bulu/kulit haiwan (khemah)." Hadis Riwayat Ahmad, hadis no 7510

Hadis ini memberi gambaran kepada manusia bahawa hujan yang lebat mencurah kebumi tak memberi manfaat kepada mereka sehingga tidak menumbuhkan tanaman dan pepohon kayu. Pada masa sama, curahan air dari langit membawa kerosakan kepada rumah yang kukuh dibina pada hari ini.

Dalam hadis lain, daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang satu masa kepada manusia apabila langit menurunkan hujan, tetapi bumi tidak menumbuhkan atau mengeluarkan hasil." Hadis Riwayat al-Hakim, hadis no 8668

Hujan apabila turun ke bumi memberi asbab kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan membiak dengan subur. Bagaimanapun, kekuasaan Allah SWT mampu menyekat peranan hujan dan bumi daripada menumbuhkan sebarang tumbuh-tumbuhan.

Perkara ini juga adalah peringatan kepada manusia apabila tidak menjaga bumi daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia itu sendiri apabila sewenang-wenangnya menjadikan hamparan bumi tertutup daripada ditembusi air disebabkan pembangunan tidak terancang.

Akibatnya, hujan yang turun tak sampai ke dalam tanah dan tidak pula dapat mengalir ke sungai disebabkan pembangunan tidak terancang menutup aliran air daripada mengalir dengan sempurna. Pada masa sama, hutan belantara yang digondolkan secara berleluasa menyebabkan pusat tadahan hujan semula jadi tidak dapat berfungsi dengan sempurna mengakibatkan banjir.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak rasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Surah ar-Rum ayat 41

Peringatan Allah SWT turut meliputi kehidupan yang terjejas disebabkan hilangnya keberkatan dengan hujan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan hilang tempat tinggal sehingga haiwan liar mula berhijrah ke kawasan penempatan manusia. Mereka mula terkesan dengan situasi kehidupan yang mengancam kehidupan dan habitat mereka.

Pada ketika ini, bukan air menjadi penghalang mereka, namun ketiadaan tumbuh-tumbuhan yang hidup kesan daripada bumi tidak menumbuhkan apa-apa menjadikan mereka mencari sumber berhampiran manusia.

Baginda Nabi SAW bersabda menjelaskan bahawa hakikat kemarau turut membabitkan hujan yang mencurah, tetapi bumi tidak mengeluarkan hasil. Daripada Abu Hurairah RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Kemarau itu (pada hakikatnya) bukanlah bermakna kamu tidak menerima hujan, tetapi kemarau itu adalah kamu menerima hujan dan terus menerima hujan, namun bumi tidak mengeluarkan atau menumbuhkan sebarang hasil." Hadis Riwayat Muslim, hadis no 2905

Oleh itu, hujan lebat yang terus mencurah tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlaku banjir yang besar. Kesannya banyak kediaman rosak, haiwan mati dan tumbuh-tumbuhan musnah sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.

Baginda Nabi SAW menyarankan kepada manusia, apabila hujan mencurah, berdoalah kepada Allah SWT agar dijadikannya sebagai hujan yang bermanfaat kepada kehidupan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mukminin Aisyah RA beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah SAW apabila hujan baginda akan membaca: Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat. Hadis Riwayat al-Nasa'ie, hadis no 1523

Apabila hujan berhenti, disunatkan pula untuk berdoa seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Kami dilimpahkan hujan dengan fadilat dan rahmat daripada Allah." Hadis Riwayat Muslim, hadis no 71

Oleh yang demikian, hujan adalah rahmat Allah SWT kepada manusia. Allah berkuasa untuk menarik balik rahmat itu dan menjadikannya musibah kepada manusia disebabkan kerakusannya melakukan kerosakan di atas muka bumi.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada semua mangsa banjir di pantai timur agar tabah menghadapi ujian yang berat ini. Setiap ujian yang diturunkan itu bertujuan melihat tahap ketakwaan dan keimanan hamba- Nya. Allah SWT berfirman: "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." Surah al-Mulk ayat 2

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:00 AM