LUANGKANLAH masa setiap hari untuk membaca al-Quran atau bertadarus bersama ahli keluarga dan rakan taulan agar saling mempelajari dan memperbaiki bacaan.
LUANGKANLAH masa setiap hari untuk membaca al-Quran atau bertadarus bersama ahli keluarga dan rakan taulan agar saling mempelajari dan memperbaiki bacaan.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Al-Quran sangat dekat dengan kehidupan masyarakat Islam di Malaysia semenjak zaman dahulu lagi. Menjadi tradisi dan kebiasaan masyarakat Melayu di kampung, menghantar anak-anak belajar mengaji al-Quran semenjak usia kecil. Ibu bapa yang berkebolehan pula, mengajar sendiri anak-anak di rumah. Kehidupan seseorang belum dianggap sempurna selagi tidak dapat menamatkan atau khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya. Adat masyarakat dulu-dulu, majlis khatam al-Quran diadakan setiap kali kenduri kahwin berlangsung. Kenduri doa selamat dianjurkan dan bersedekah pulut kuning kepada jiran tetangga juga menjadi amalan sebagai tanda kesyukuran kerana dapat menamatkan pengajian al-Quran. Sebahagian masyarakat dapat menguasai seni taranum al-Quran yang melahirkan tokoh qari dan qariah yang terkenal dalam masyarakat sehingga ke peringkat antarabangsa.

Lebih menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa ialah apabila anak-anak dapat menghafaz al-Quran, menjadi hafiz dan hafizah. Ibu bapa juga akan mendapat kelebihan kerana hasil didikan mereka anak-anak tersebut mempelajari al-Quran. Al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat yang membawa keberkatan di dalam kehidupan sesiapa sahaja yang melaziminya.

Di dalam sebuah hadis daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: "Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?" Allah menjawab: "Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?" Kemudian dikatakan kepadanya: "Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya." Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al-Quran)." (Riwayat Ahmad)

Al-Quran dipelihara penuh adab dan berhati-hati, diletakkan di tempat yang tinggi dan sudut tertentu di rumah agar tidak dicemari. Sebahagian ulama bersepakat menyentuh al-Quran atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan suci daripada hadas kecil atau besar. Perkara tersebut bertepatan dengan firman Allah dalam al-Quran surah al-Waqi'ah ayat 77-79 yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci."

Di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam dibangunkan khusus bagi proses pelupusan al-Quran mengikut tatacara yang dianjurkan oleh syariat. Di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut: Bagi menyentuh dan membawa mushaf al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai air sembahyang serta tidak berhadas besar kecuali al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Braille dan paparan skrin telefon bimbit. Begitu sekali kesucian al-Quran dipelihara setiap masa sehingga kaedah pelupusannya.

Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca, tetapi pemahaman dan penghayatan terhadap isi kandungannya juga mesti diamalkan dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya berusahalah memahami maksud surah al-Fatihah yang dibaca pada setiap waktu solat 17 kali dalam sehari. Pelbagai program dan inisiatif telah dianjurkan bagi mentadabbur makna dan isi kandungan al-Quran.

Usaha tersebut boleh diteruskan sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan amalan tadarus al-Quran beserta maksud dan terjemahan. Allah SWT mengingatkan tentang kepentingan mentadabbur al-Quran melalui firman-Nya dalam surah Muhammad ayat 24 bermaksud: "(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?"

Namun pemahaman al-Quran perlulah dirujuk kepada golongan yang pakar agar tidak terjebak dalam kesesatan sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 7 bermaksud: "Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat 'muhkamaat' (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat 'mutasyaabihaat' (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: "Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran."

Berusahalah untuk memiliki naskhah al-Quran sama ada bercetak ataupun digital. Dapatkan naskhah al-Quran yang mempunyai pengesahan daripada pihak berkuasa dan carilah guru untuk mempelajarinya. Sesungguhnya al-Quran memberikan sinar dan cahaya dalam kehidupan sebagaimana sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu." (Riwayat Muslim)

Luangkanlah masa setiap hari untuk membaca al-Quran atau bertadarus bersama ahli keluarga dan rakan taulan agar saling mempelajari dan memperbaiki bacaan masing-masing. Tiada istilah terlewat untuk mempelajari al-Quran kerana banyak peluang dan kelas pengajian disediakan bagi tujuan tersebut. Di Wilayah Persekutuan, kelas pengajian al-Quran dilaksanakan di masjid dan surau manakala kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) disediakan bermula di peringkat sekolah rendah. Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran."  (Riwayat Muslim)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:59 AM