BAPA perlu meluangkan masa berinteraksi dengan anak.
BAPA perlu meluangkan masa berinteraksi dengan anak.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap lelaki yang berumah tangga pasti ingin menjadi bapa. Rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada lelaki yang berumah tangga membawa 1,001 rahmat dan keberkatan dalam kehidupan sebuah keluarga. Gelaran bapa dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dengan disertakan amanah yang cukup besar. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." Surah al-Anfal, ayat 28

Antara tugas paling besar bagi seorang bapa ialah untuk memastikan anaknya memiliki budi pekerti yang mulia dan berjaya dalam hidup, bukan saja di dunia tetapi lebih-lebih lagi di akhirat nanti. Sebenarnya proses mendidik anak bermula sejak sebelum kelahirannya. Segala tindak-tanduk dan perangai ibu bapalah akan membentuk keperibadian anak yang bakal dilahirkan.

Sebenarnya, tugas membentuk keperibadian unggul dalam diri insan adalah antara misi penting pengutusan Rasulullah SAW sebagai rasul terakhir. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak." Hadis Riwayat Ahmad

Jadi, sekiranya seseorang bapa berusaha mendidik anaknya dengan akhlak Islam, dia sebenarnya sedang meneruskan misi perjuangan Rasulullah SAW.

Cabaran hebat yang dilalui oleh bapa ialah tatkala anak melalui proses pembesaran. Sekiranya bapa gagal mengawasi tingkah laku anak mereka sepanjang proses ini, anak akan hanyut dibawa arus remaja. Secara lebih spesifik, tempoh ini merujuk kepada perubahan anak daripada peringkat kanak-kanak kepada peringkat remaja sekitar umur 15 hingga 25 tahun.

Pada tahap itu, biasanya anak akan berasakan mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa perlu kawalan daripada ibu bapa. Mereka lebih selesa meluahkan isi hati kepada rakan dan mula berani melakukan perkara yang menjadi kebiasaan remaja lain seperti merokok, keluar malam dan mencari pasangan.

Seorang bapa perlu bijak memainkan peranannya dalam proses mencorak sahsiah anak. Interaksi antara bapa dengan anak perlu dilakukan dengan bijak agar anak akan sentiasa menyedari diri mereka disayangi. Kurangnya komunikasi dalam keluarga menyebabkan anak mencari pihak lain untuk mendengar luahan hati mereka. Malah, bapa perlu berusaha mendalami hati dan perasaan anaknya bagi mengelakkan mereka merasa terpinggir, lalu terpengaruh dengan pandangan negatif daripada kawan mereka.

Usah serahkan tanggungjawab menyelami hati anak kepada ibu mereka semata-mata. Bapa juga perlu meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak. Hubungan bapa yang seakan-akan rakan kepada anak akan membuatkan anak berasa selesa untuk berkongsi masalah bersama bapa mereka. Apatah lagi pada saat sekarang anak banyak masa berada di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Manfaatkan masa ini untuk mendekati mereka.

Dengan cabaran gaya hidup moden masa kini, pelbagai bentuk rintangan yang perlu dihadapi oleh bapa. Oleh itu, amat wajar bagi bapa untuk meneliti beberapa perkara bagi mendepani situasi zaman serba canggih ini. Antara yang penting, bapa perlu menguasai ilmu mendidik anak menurut acuan Islam. Terdapat banyak kisah dalam al-Quran yang dirakamkan mewakili situasi bapa dan anak antaranya kisah Nabi Ibrahim dan kisah Luqman al-Hakim. Lihatlah bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Budaya nasihat subur dalam keluarga Luqman al-Hakim. Inilah satu cara yang patut dicontohi oleh bapa hari ini.

Luqman al-Hakim mendidik anaknya dengan mutiara nasihat yang amat berguna. Antaranya seperti yang dirakamkan dalam al-Quran bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya ketika dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." Surah Luqman ayat 13

Budaya nasihat ini perlu disuburkan dalam keluarga. Nasihat perlu diberikan dengan cara yang terbaik iaitu tidak dalam keadaan marah. Sebaik-baiknya nasihat diberikan dengan penuh kasih sayang dan pengharapan kepada Allah SWT agar nasihat itu benar-benar menyerap ke dalam hati anak. Nasihat juga perlu disampaikan sesuai dengan keadaan anak dan suasana sekeliling. Inilah antara ilmu yang perlu dipelajari oleh bapa.

Selain itu, bapa perlu sedar anak sentiasa memerhati tindak-tanduknya. Sebagai anak, semestinya mereka memandang tinggi kedudukan bapanya. Bapa ialah insan dewasa yang lebih dekat dengan anak berbanding insan lain. Oleh itu, bapa perlu memanfaatkan situasi ini dengan mempamerkan contoh ikutan dan teladan terbaik kepada anak. Sekiranya peluang ini dipersiakan bapa, anak akan berusaha mencari pihak lain untuk dijadikan contoh. Akhirnya, situasi ini bakal membentuk satu persepsi buruk anak terhadap bapanya. Maka segala nasihat bapa selepas itu tidak akan memberi kesan positif kepada anak.

Prinsip kepemimpinan melalui teladan perlu diterapkan dalam rumah. Ini antara kaedah berkesan bagi memastikan setiap ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan yang baik, seterusnya terhindar daripada sebarang hal yang boleh menjerumuskan diri dan ahli keluarga ke dalam neraka. Setiap bapa perlu ingat firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu." Surah at-Tahrim ayat 6

Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik dalam segenap aspek termasuk sebagai seorang bapa. Sifat kelembutan dan ketegasan baginda dalam mendidik anak sepatutnya menjadi contoh kepada setiap bapa.

Sikap sesetengah bapa yang membela anaknya yang melakukan kesilapan adalah fenomena buruk yang bakal menjadikan anak terus terpesong, malah berasa bangga berada dalam dunia kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya dan aku (Rasulullah) adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku." Hadis Riwayat Ibn Majah

Setiap insan yang bergelar bapa perlu menginsafi bahawa tugas yang sedang dipikulnya amat besar. Bapa pencorak sahsiah anak. Hanya dengan didikan mengikut acuan Islam sahaja dapat melahirkan anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Berdoalah kepada Allah SWT agar amanah menjadi seorang bapa dapat ditunaikan dengan baik sehingga melahirkan zuriat dan keluarga yang soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri dan zuriat keturunan kami perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa." Surah al-Furqan ayat 74

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:10 AM