FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Kematian orang alim dan dominasi mereka yang jahil dan jahat menggambarkan keadaan manusia berada pada penghujung zaman sehingga mereka berbuat kebaikan dihina serta dicaci manakala kejahatan dipelihara.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi zat yang jiwa Muhammad ini berada di genggaman-Nya, hari kiamat tidak akan datang sehingga muncul kejahatan dan kebakhilan, orang yang jujur didustakan, orang yang khianat dipercayai. Binasalah al-Wa'ul dan munculnya at-Tahut? Maka sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Siapakah al-Wa'ul dan at-Tahut itu ya Rasulullah? Jawab baginda: 'al-Wa'ul adalah orang terhormat dalam kalangan manusia, sedangkan at-Tahut adalah orang yang hidup di bawah tekanan tanpa mengetahui siapa yang menekannya.'" (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Fitan Hadis no, 8664)

Hadis di atas menjelaskan mengenai keadaan manusia akhir zaman iaitu kejahatan dan kebakhilan muncul dengan begitu pesat sehingga perkara itu menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Semua perkara yang dilakukan diangkat masyarakat sehingga perbuatan yang diharamkan dihalalkan.

Manakala manusia yang jujur serta mereka yang sentiasa melakukan kebaikan dicaci dan diabaikan. Kelakuan dan percakapan mereka tidak diendahkan oleh masyarakat bahkan terus dipulau dan dianggap orang asing. Mereka adalah daripada golongan ilmuwan, asatizah yang mempunyai semangat tinggi dalam memperteguhkan keimanan dan mengajak ke arah kebaikan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di antara tanda-tanda hari kiamat antara lain: kebakhilan dan perbuatan tercela terserlah, orang yang khianat dipercayai, orang yang amanah dikhianati, merebaknya pakaian yang dipakai oleh wanita, tetapi telanjang, at-Tahut yang menjadi atasan al-Wa'ul." Maka kami bertanya, apakah at-Tahut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: 'Mereka adalah orang yang mempunyai mental (moral) yang rendah kemudian dipilih oleh orang-orang bodoh untuk diangkat menjadi pemimpin untuk kepentingan mereka, sementara al-Wa'ul adalah orang-orang yang soleh.'" (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Fitan Hadis no, 8664)

Gambaran hadis di atas menjelaskan lagi situasi manusia yang ramai berada pada kejahilan dan kebakhilan. Kejahilan ini juga merujuk kepada mereka yang kurang ilmu agama, tetapi berkata-kata umpama orang alim yang luas keilmuannya. Sehingga golongan ini mampu menolak pandangan yang dipersetujui oleh orang alim dengan pemahaman akal mereka. Paling ketara apabila mereka secara langsung menggelarkan seseorang orang alim itu dengan perkataan 'sesat'.

Berkuasanya mereka yang jahil dan jahat ini merujuk kepada penyingkiran orang baik daripada sistem kekuasaan. Dalam sistem kekuasaan yang didominasi oleh mereka yang jahat, orang-orang yang baik akan menjadi mangsa dan korban bagi menjayakan agenda yang dirancang. Sekiranya perkara tersebut berlaku secara nyata, kedudukan orang-orang baik ini amat mudah untuk dipastikan. Namun sekiranya, agenda jahat yang dikenakan kepada orang-orang baik ini melalui jalan belakang (penguasaan mental), masyarakat akan melihat golongan yang baik adalah jahat dan mereka yang jahat adalah baik dan disokong segala usaha mereka.

Orang alim yang terdiri daripada cendekiawan ialah pemimpin agama yang mencapai kedudukan tinggi disebabkan ijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, sebagai mana firman Allah SWT: "Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami." (Surah al-Sajdah: 24)

Kelebihan orang alim adalah memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik dan cerdik daripada sebarang kejahilan. Ini kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh. Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada orang alim akan memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak mulia dan menghindarkan sifat mazmumah.

Kematian orang alim dianggap sebagai musibah besar kerana orang alim adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat. Untuk melahirkan orang alim yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal.

Antara tanda akhir zaman ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian orang alim, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaharu dan terkini.

Imam al-Syafie berkata: "Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ia menjadi amalan Nabi, Rasul dan orang soleh."

Pujangga berkata: "Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan. Pertama, kita mengetahui masalah pokok dan kedua kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu."

Sulaiman Rahimahullah yang berkata maksudnya: "Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia."

Ketika ditanya kepada Sa'id Bin Jubair Rahimahullah: "Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: "Apabila orang alim mereka meninggal dunia."

Kematian orang alim adalah musibah besar kepada ummah. Manusia mampu menggantikan jawatan, tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati orang alim yang berpengaruh yang begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya atau negerinya sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.

Firman Allah SWT maksudnya: "Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?" (Surah al-Ra'd: 41)

Atha' dan ramai orang alim menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi maksud kematian orang alim dan hilangnya para fuqaha.

Firman Allah SWT maksudnya: "Demi bintang semasa ia menjunam."(Surah al-Najm: 1)

Bintang yang dinyatakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada orang alim. Imam al-Nasafi berkata: "Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia."

Kematian orang alim akan menyebabkan kedudukan manusia akan kembali kepada kegelapan. Kejahilan semakin meluas sehingga tiada lagi peringatan akan diberikan kecuali daripada mereka yang jahil, jahat dan bodoh.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 7:00 AM