RASULULLAH SAW berpesan, jika tidak mampu mengucapkan perkataan baik-baik yang boleh menggembirakan orang lain lebih baik kita diam.
RASULULLAH SAW berpesan, jika tidak mampu mengucapkan perkataan baik-baik yang boleh menggembirakan orang lain lebih baik kita diam.
Oleh Moh d Rizal Azman Rifin

Masyarakat Melayu sangat bertertib penuh berhikmah dalam mengeluarkan tutur kata. Dalam masyarakat yang sentiasa menjunjung tinggi nilai adab dan kesopanan, aspek 'kebersihan' komunikasi amat diberikan keutamaan.

Maka tidak hairanlah masyarakat kita sejak dahulu lagi memiliki banyak ungkapan kata yang memberikan pengajaran, sindiran mahupun teguran demi kebaikan sesama anggota masyarakat. Misalnya, peribahasa yang menyebut, 'Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.' Peribahasa ini begitu mendalam maksudnya yang memberikan didikan kepada seluruh anggota masyarakat Melayu supaya sentiasa berhati-hati dalam bertutur kata.

Bak kata simpulan bahasa, 'lidah tidak bertulang,' membuatkan sesiapa sahaja antara kita dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan tutur bicara. Dalam kerancakan dan keaktifan berbicara lisan itu berkemungkinan ada kata-kata yang tanpa disedari terkandungnya kata-kata yang berunsur prasangka buruk kepada orang lain, atau mungkin terdapatnya kata-kata yang mengguris perasaan. 

Sebenarnya, Islam begitu mengambil cakna terhadap aspek kebahasaan dan penggunaan linguistik kerana ia juga merupakan antara unsur iman yang perlu dipelihara sebaiknya. Islam meletakkan aspek linguistik dalam penggunaan apa jua naratif sebagai cerminan iman dan imej keperibadaian seseorang individu.

Baginda SAW pernah memberikan peringatan yang intipati kandungan didikannya mengajak umatnya supaya bijak memilih aspek kosa kata yang memberikan manfaat. Pesan Baginda SAW, jika tidak mampu mengucapkan yang baik-baik yang boleh menggembirakan orang lain lebih baik kita diam. Baginda Rasulullah SAW berpesan: "Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam." (Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, bukan suatu perkara mudah untuk seseorang bersikap diam sahaja tanpa campur tangan dalam memperkatakan sesuatu. Tetapi seharusnya kita faham bahawa pesanan Rasulullah SAW tersebut sebenarnya mendidik diri umatnya supaya bijaksana dan sentiasa 'berfikir dahulu sebelum berkata.' 

Namun, apa yang seringkali berlaku sebaliknya, iaitu kita tanpa berfikir panjang semasa mengeluarkan kosa kata dalam menaratif sesuatu isu. Maka, tidak menghairankan apabila tercetus sesuatu insiden tidak diingini akibat naratif berkomunikasi yang kurang 'bersih.' Kata-kata diluah tanpa memikirkan soal maruah. Kosa kata tidak lagi beradab susila tanpa mengira soal dosa dan pahala. 

Dalam isu penggunaan linguistik untuk menaratif sesuatu itu ada baiknya kita memetik apa yang pernah disebut oleh Imam An-Nawawi. Kata Imam An-Nawawi bahawa Imam As Syafie pernah mengungkapkan: "Jika seseorang hendak berkata, maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu, jika nampak baginya ia tidak membawa mudarat ke atasnya, maka bolehlah dia berbicara, tetapi sekiranya nampak baginya mudarat atau keraguan padanya, maka hendaklah dia tahan daripada berbicara." 

Kita sekarang sedang berada dalam musim pilihan raya dan kita sudah mendengar pelbagai naratif berkenaan sesuatu isu yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung mahupun yang sekadar tidak langsung dalam politik, yang mengakibatkan banyak tutur bicara kurang sedap didengar mula menerobos ruang pendengaran awam. 

Musim pilihan raya dan semasa berkempen sebenarnya dapatlah kita umpama platform yang bukan sahaja menguji kebijaksanaan berbicara secara petah sahaja, tetapi dalam masa sama ia sebenarnya menguji kebijaksanaan seseorang dalam istiqamah memelihara sopan dan kekal teguh menjaga peringatan Rasulullah SAW agar tidak berkata yang mungkin membawa mudarat dan dosa. 

Allah menerusi Surah an-Nur, ayat 19 ada berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." 

Firman Allah ini seharusnya menjadi pedoman wajib diingati sepanjang masa hatta semasa berkempen juga. Usah dianggapkan hal remeh-temeh mungkar komunikasi kerana ia tetap setaraf dengan perbuatan doa yang lain juga. Usah sesekali bertanggapan bahawa kebersihan hanya ditekankan kepada aspek alam sekitar sahaja, sedangkan Islam turut memberikan keutamaan buat umatnya sentiasa membiasakan diri dengan 'kebersihan komunikasi'. 

Allah juga ada mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata."  (Surah al-Ahzaab, ayat 58)

Maka, jelaslah bahawa unsur atau aspek linguistik dalam mengeluarkan apapun juga naratif berkenaan sesuatu perkara perlu diperhitungkan sama ada ia memberikan pahala ataupun dosa. 'Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk akibatnya.' 

Rasulullah SAW juga pernah menasihatkan Muaz bin Jabal supaya menjaga lidah dan tutur katanya dengan menunjukkan lidah. Baginda bersabda yang bermaksud: "Tahanlah (lidah) kamu ini." Muaz bertanya: "Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan? 

Baginda menjawab: "Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan)." (Hadis diselidiki secara sahih oleh Imam At-Tirmizi)

Kisah sahabat Muaz bin Jabal bersama Rasulullah SAW itu sebenarnya memberikan kita gambaran betapa Islam sangat mementingkan aspek linguistik dalam berbual bicara dalam kehidupan seharian. Semoga kita bersama beringat sentiasa bahawa perbuatan dosa yang mudah menjerumuskan diri kepada kemurkaan Allah tidak lain adalah dalam bertutur kata. Banyak kali kita tanpa sedar telah terperangkap dalam mungkar bernaratif semasa berkomunikasi. 

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:00 AM