JIKA kita ingin melihat sesebuah organisasi atau negara maju, kita seharusnya menyediakan modal insan berkualiti pada hari ini.
JIKA kita ingin melihat sesebuah organisasi atau negara maju, kita seharusnya menyediakan modal insan berkualiti pada hari ini.
minda

Pandemik Covid-19 masih belum menemui jalan penyelesaiannya. Sehingga kini World Health Organization (WHO) atau Pertubuhan Kesihantan Dunia sedang berusaha untuk membangunkan vaksin covid-19 bagi menghalang penyakit ini dari terus menjangkiti manusia.

Namun pandemik ini sudah mengajar kita pelbagai norma baharu dalam menghadapi kehidupan mendatang. Norma ini menjadikan insan atau manusia lebih bersifat teliti dalam meneruskan kehidupan seharian.Ianya juga memerlukan satu bentuk norma baharu dalam membangunkan modal insan. Membangunkan modal insan penting dalam memastikan kemajuan sesebuah organisasi dan negara. Pembangunan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi merupakan faktor kritikal bagi menyokong pertumbuhan sosial, budaya dan ekonomi sesebuah negara. Sesebuah organisasi dan negara yang cemerlang amat menitik beratkan kepada kualiti modal insannya. Umumnya teori asas yang dibangunkan oleh sarjana Barat khususnya Theodore W Schultz dalam tulisannya bertajuk Capital Formation by Education dan Investment in Human Capital pada tahun 1961, menyatakan bahawa pendidikan, latihan dalam kerjaya, pembangunan kerjaya serta lain-lain pengetahuan yang mempunyai kesan positif ke atas nilai produktiviti merupakan asas kepada teori membangunkan modal insan.Manakala Islam pula melihat insan atau manusia dalam konteks keseluruhan dan kesempurnaan diri. Tanggungjawab utama insan diutus adalah untuk tunduk dan patuh kepada Allah. Seperti Firman Allah dalam surah al-Zariat ayat 56, yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." Oleh yang demikian modal insan menurut perspektif Islam adalah satu keunggulan keperibadian yang dimiliki oleh manusia, dalam konteks melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama yang telah diamanahkan bagi kemakmuran manusia dan alam ciptaan-Nya.Prof Mohd Kamal Hassan dalam tulisannya bertajuk Human Capital Management and Development in Light of the Contemporary Civilisational Crises sudah meletakkan satu kerangka konsep baharu dalam pembangunan modal insan iaitu fokus kepada konsep tauhid yang merangkumi aspek ketuhanan, kehidupan dan matlamat akhir kehidupan iaitu menuju ke syurga Allah.Dalam usaha kita menghadapi pasca pandemik Covid-19 ini, kerajaan sudah berusaha membangunkan modal insan dengan cabaran baharu. Umpamanya melalui penggunaan teknologi, kerajaan telah mengenal pasti aspek teknologi sebagai antara pemangkin yang bukan hanya mempercepatkan pemulihan, tetapi juga mentransformasikan ekonomi negara.Langkah ini harus diambil kerana pandemik ini sudah menyebabkan penggunaan teknologi yang semakin meningkat kerana pekerja terpaksa bekerja dari rumah. Secara tidak langsung menyebabkan pelaburan yang besar dibuat oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, organisasi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kapasiti teknologi mereka.Dalam aspek pendidikan pula, larangan kehadiran pelajar ke institusi pendidikan secara fizikal sudah memperkenalkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara online bagi meneruskan agenda membangunkan modal insan untuk memajukan anak bangsa pada masa hadapan.Kaedah PdP baru ini sudah diperkenalkan dalam semua peringkat aras pendidikan termasuklah pra sekolah, rendah, menengah dan universiti. Kaedah ini secara tidak langsung meminggirkan semua pelajar daripada terus alpa dengan pelajaran masing-masing dan seterusnya dapat memberikan pulangan yang positif kepada ekonomi dan penddikan negara.Kerajaan membelanjakan jumlah yang cukup besar bagi membangunkan modal insan dalam era covid-19 ini.Sebagai contoh melalui pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebanyak RM100 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang diperkenalkan untuk menyelesaikan masalah negara melalui penggunaan teknologi terkini. Kerajaan juga mempekenalkan konsep pendigitalan yang akan memperlihatkan tugasan baru kepada penjawat awam dalam melakukan kerja harian mereka.Langkah ini secara tidak langsung berkait rapat dengan pembangunan modal insan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.Walau apapun yang berlaku, usaha ke arah membangunkan modal insan amat penting demi memastikan kelangsungan organisasi dan negara terus terjamin.Jika kita ingin melihat sesebuah organisasi atau negara itu maju pada masa hadapan, kita seharusnya menyediakan modal insan baik dan berkualiti pada hari ini. Pelaksanaan program pembangunan modal insan perlu dirancang dengan teliti dan perlu melibatkan pelaburan kewangan yang besar bagi melahirkan modal insan mahir seterusnya mampu melonjakkan organisasi dan negara menjana modal insan kelas pertama.

Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 9:25 AM