FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Rizal Azman Rifin

Sesungguhnya akhlak seseorang itu terbina kukuh apabila hatinya bersih yang tidak diselaputi dengan abu karat sifat mazmumah.

Apabila hati seseorang itu bersih, kesannya akan jelas terserlah pada apa sahaja pergerakan anggota fizikalnya.

Ini selaras dengan apa yang pernah diberitahu Rasulullah SAW dalam sabdanya yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim yang mana Baginda bersabda, 'Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada sepotong daging apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.'

Kekalutan sosial yang seringkali berlaku kebelakangan ini timbul apabila ada sesetengah pihak yang busuk dan buruk hatinya.

Misalnya, fenomena fitnah-memfitnah dan berhasad dengki adalah petanda hati seseorang individu itu tidak bersih.

Sebab itu Rasulullah secara jelas melarang keras umatnya melakukan perbuatan seperti itu.

Rasulullah sebagaimana diriwayatkan Imam Abu Daud bersabda, 'Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan dia akan mendedahkannya, meskipun berada di dalam rumah sendiri.'

Rasulullah juga mengingatkan kita semua akan kesan buruk yang bakal berlaku kepada si pengumpat yang mana kali ini Baginda menyatakan, 'Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah (penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan drham tidak lagi diperlukan. Jika dia mempunyai apa-apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya.' (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

'Peta kehidupan' seseorang mukmin seharusnya berteraskan kepada akhlak murni yang selari nilai Islam.

Setinggi mana ilmu pengetahuan, sekaya mana kekayaan yang dimiliki atau sekuat mana pengaruh darjat status sosial seseorang itu, tanpa akhlak murni, ia tetap berada dalam ketempangan.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 11:47 AM