ASPEK penjagaan kebersihan persekitaran wajar dititikberatkan demi menjaga kesihatan diri sendiri dan masyarakat.
ASPEK penjagaan kebersihan persekitaran wajar dititikberatkan demi menjaga kesihatan diri sendiri dan masyarakat.
Oleh Rizal Azman Rifin


NILAI kebersihan adalah antara elemen yang diutamakan dalam Islam. Malah, Islam meletakkan nilai kebersihan sebagai tonggak dalam menentukan sah dan tidak amal ibadah yang dilakukan. Misalnya dalam solat yang berwuduk menjadi penentu kepada titik mula kepada solat. Tanpa wuduk yang sempurna menyebabkan solat kita tidak sah dan diterima Allah. 

Dalam sebuah hadis sahih dibawa oleh Abu Malik al-Asy’ari beliau memberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.’ (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Begitu juga dengan hadis berikut ini sebagaimana dikhabarkan oleh Sa’d bin Abu Waqqash yang hadis ini diperolehnya daripada ayahnya sendiri. Kata Sa’d, bahawa Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya Allah adalah baik yang menyukai kebaikan, bersih yang menyukai kebersihan, mulia yang menyukai kemuliaan, dermawan yang menyukai kedermawanan. Maka bersihkanlah halaman rumah kamu.’ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Jadi, usaha kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang satu demi satu program atau kempen memelihara dan menjaga kebersihan alam sekitar adalah pendekatan yang seharusnya seluruh rakyat, apatah lagi kita yang Islam ini sama-sama menjadi sebahagian daripada penyokong dan penggerak kepada usaha memelihara kebersihan sama ada di laman rumah sendiri atau di persekitaran kampung.

Statistik terkini yang dikeluarkan KKM memaparkan 2,404 kes denggi berlaku sepanjang lima hari awal tahun ini iaitu dari 3 hingga 7 Januari lalu. Manakala kes yang membabitkan kematian yang berpunca daripada demam denggi pula dicatat 336 kes bagi tempoh 3 Januari tahun lalu hingga 7 Januari lalu.

Laporan terkini yang disahkan sendiri oleh KKM itu sewajar membuka mata dan hati kita supaya tidak mengabaikan aspek menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal kita. Seharusnya program secara berjemaah dalam sesebuah komuniti seperti gotong- royong membersihakan halaman kampung dan sekitaran komuniti perbandaran diadakan dengan lebih giat dan setiap warganya tidak mengecualikan diri.

Lebih penting lagi ialah aspek memelihara kebersihan itu dimulakan dalam rumah sendiri. Jadi, di sini perlu ibu bapa mendidik anak-anak dalam memastikan nilai kebersihan sentiasa terpupuk utuh. Budayakan kehidupan rumah tangga yang utamakan kebersihan baik dari segi kebersihan fizikal tubuh badan, mahupun kebersihan persekitaran laman kediaman.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 7:10 PM