Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor giat melancarkan Ops Mabuk di seluruh negeri bagi mengesan dan membanteras pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor giat melancarkan Ops Mabuk di seluruh negeri bagi mengesan dan membanteras pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor melancarkan Ops Mabuk di seluruh Johor, malam tadi hingga pagi hari ini, bagi mengesan dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, seramai 10 individu ditahan dalam operasi serentak di seluruh negeri itu bermula 9 malam tadi dan berakhir 3 pagi hari ini.

Katanya, kesemua lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 60 tahun itu ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK Johor) menahan empat pemandu dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPT IPD) Seri Alam menahan empat pemandu, manakala, BSPT IPD Kulai serta BSPT IPD Batu Pahat masing-masing menahan seorang pemandu.

"Sepanjang Op Mabuk itu, JSPT Kontinjen Johor mengeluarkan 81 saman kepada pengguna jalan raya membabitkan pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengguna jalan raya diingatkan untuk tidak memandu jika mengambil alkohol yang melebihi kadar ditetapkan dan dinasihatkan tidak boleh memandu kenderaan sekiranya mengambil minuman beralkohol.

"Op Mabuk diaktifkan bagi mengesan dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol berada di atas jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 2:25 PM