Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian berdekatan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, Jumaat lalu.

Jazvinjit Singh Ranjit Singh, 30, yang bertugas di sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama (Pindaan 2020).

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu Honda Civic memandu dengan kadar alkohol dalam badan melebihi had ditetapkan dengan ujian nafas mendapati kandungan alkohol sebanyak 167 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 117mg daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg/100ml.

Perbuatan itu dilakukan jam 12.10 tengah malam, 17 Mac lalu di Jalan Lapangan Terbang Off Jalan Angsana, Hadapan Pos Pengawal PLPGU, di sini.

JAZVINJIT Singh didakwa atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol. FOTO L Manimaran
JAZVINJIT Singh didakwa atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol. FOTO L Manimaran

Sabit kesalahan, Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sebutan; dan bagi sabitan kali kedua hukumannya adalah penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N M Moganaraj Mithra manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali dalam sebulan.

Majistret turut menetapkan tarikh 3 April depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen.

Terdahulu, media melaporkan penahanan seorang lelaki oleh polis pada tengah malam 17 Mac lalu selepas suspek mengamuk dan disyaki memandu dalam keadaan mabuk berdekatan pos pengawal PLPGU, PDRM, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:21 PM