LAFAZ syukur alhamdulillah hendaklah sentiasa membasahi lidah kita. FOTO Abdullah Yusof
LAFAZ syukur alhamdulillah hendaklah sentiasa membasahi lidah kita. FOTO Abdullah Yusof
Qira’ah Fatwa

BENARKAH umat lain tidak akan masuk syurga selagi umat Nabi Muhammad SAW belum memasukinya?

Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita.

“Hari Jumaat ialah hari difardukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” Riwayat al-Bukhari (836) dan Muslim (855)

Hadis berkenaan menunjukkan umat Nabi Muhammad akan memasuki syurga terlebih dahulu daripada umat lain. Ia dikuatkan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga diharamkan ke atas para nabi semuanya sehingga aku memasukinya. Begitu juga diharamkan ke atas umat-umat terdahulu syurga sehingga umat aku memasuki terlebih dahulu.” Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (942)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis itu berkata, bagi orang Yahudi, acara ibadatnya pada hari Sabtu, sedangkan bagi orang Kristian pada hari Ahad.

Kemudian Allah datangkan kita, lantas diberi petunjuk kepada kita untuk hari Jumaat, maka dijadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Demikian mereka mengikut bagi kita pada hari Kiamat. Kita adalah umat terakhir dibangkitkan di dunia sedangkan kita adalah umat yang terdahulu pada hari Kiamat yang diputuskan hukuman sebelum yang lain.

Ulama menafsirkan berkenaan yang terakhir itu dengan maksud masa dan wujudnya di dunia sedangkan yang terdahulu dengan maksud kurniaan dan masuk syurga.

Justeru, umat ini akan memasuki syurga sebelum semua umat yang lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/19-20)

Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah berkata: Kita adalah golongan terakhir keluar dari dunia sedangkan yang terdahulu dengan kurniaan dan karamah daripada Allah pada hari Kiamat kelak. (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/201)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih berkata, kita adalah umat terakhir dari sudut kejadian dan awal dari sudut kehidupan dan kedudukan pada hari Kiamat. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al Masabih, 3/1008)

Justeru, nikmat Allah SWT kurniakan kepada umat Muhammad SAW amat banyak dan cukup istimewa.

Sehubungan itu, lafaz syukur alhamdulillah hendaklah sentiasa membasahi lidah kita dan menjadikan hadis itu sebagai inspirasi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang akhirnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.

Kami menutup perbincangan ini dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Aku mohon berlindung dengan-Mu daripada neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 10:25 AM