GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

ADAKAH pintu Al-Rayyan dikhaskan bagi umat Nabi Muhammad yang banyak berpuasa sahaja atau umat lain pun boleh juga masuk pintu itu?

Antara rahmat Allah SWT ke atas hamba-Nya ialah setiap orang akan masuk syurga melalui pintu amalan yang mereka lakukan ketika di dunia.

Antara pintu-pintu itu adalah pintu Al-Rayyan yang dikhususkan bagi mereka yang berpuasa. Menerusi hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.” (Riwayat Al-Bukhari - 1897 dan Muslim - 1705)

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis itu menyebut, setiap orang akan masuk ke dalam syurga melalui pintu amalan mereka kerana mereka sentiasa berterusan melakukan amalan ketaatan seperti solat, puasa dan sebagainya. (Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 6/100)

Ini bermakna, jika setiap orang Mukmin melakukan satu amalan dan berterusan melakukannya, maka dia layak untuk masuk ke syurga menerusi pintu yang khusus baginya.

Bahkan Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan, selain pintu yang disebutkan itu, terdapat pintu lain seperti pintu haji, pintu zikir, pintu ilmu dan yang paling kanan sekali adalah pintu yang dikhususkan untuk ahli tawakal yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab. (Fath Al-Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, 7/37)

Ini bermakna pintu Al-Rayyan juga boleh dimasuki umat selain umat Nabi Muhammad. Tiada nas atau dalil khusus yang menyatakan pintu Al-Rayyan dikhususkan buat umat Nabi Muhammad SAW sahaja.

Pengkhususan terhadap sesuatu perkara khususnya yang membabitkan perkara ghaibiyat memerlukan dalil atau nas.

Jika tiada, ia kekal dengan keumumannya. Kaedah menyebut: Jika di dalam nas syarak menyebutkan lafaz umum dan tiada dalil yang mengkhususkannya, maka wajib dikekalkan keumumannya.

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyatakan, pintu itu dikhususkan buat orang Mukmin yang sentiasa melazimi amalan puasa. (Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 19/147)

Ini membawa maksud umat sebelum umat Nabi Muhammad layak memasuki pintu Al-Rayyan asalkan mereka beriman kepada Allah SWT.

Bagaimanapun, umat paling awal masuk syurga melalui pintu itu adalah umat Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Kita adalah umat yang terakhir (dari sudut zaman) juga umat yang terawal (mendapat kelebihan) pada hari kiamat. Kita juga adalah umat yang paling awal sekali masuk ke dalam syurga. Walaupun mereka (umat-umat terdahulu) diberikan kitab sebelum kita dan kita diberikan selepas daripada mereka.” (Riwayat Muslim (1413)

Sumber: Irsyad Fatwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:18 AM