FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Di rumah, bapa mengetuai sebuah keluarga. Sebagai ketua, bapa memikul tanggungjawab besar ke atas tiap-tiap individu di bawah kepimpinannya.

Di akhirat kelak, setiap pemimpin sama ada di rumah, tempat kerja, kampung, bandar, peringkat nasional mahupun global tidak terlepas daripada persoalan dan penilaian

berkenaan kepemimpinannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta bertanggungjawab ke atas kepemimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggungjawab ke atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan bertanggungjawab ke atasnya. Seorang hamba adalah penjaga bagi harta tuannya dan dia bertanggungjawab ke atasnya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Pemimpin yang baik pasti mahukan kepemimpinannya berjalan sempurna. Bagaimanapun, pemimpin tetap perlu mendengar pandangan orang lain dalam membuat perancangan.

Antara sifat pemimpin yang baik adalah tidak menggunakan kekuasaan dimiliki untuk membuat keputusan.

Semangat mengadakan perbincangan perlu disemarakkan bagi memastikan pemimpin itu benar-benar memahami kehendak dan aspirasi orang ramai di bawah kepemimpinannya.

Kepemimpinan dalam sesebuah rumah tangga misalnya, suami tidak boleh menafikan pandangan isteri dan anak-anak dalam membuat keputusan.

Walaupun keputusan akhir terletak dalam kuasanya, pemimpin keluarga yang baik pasti mendengar luahan dan saranan daripada setiap ahli keluarganya.

Begitu juga dalam sesebuah organisasi. Setiap pemimpin mesti mendengar pandangan orang bawahannya dan tidak sesekali bergantung hanya kepada orang kanannya sahaja.

Tidak rugi mendengar pandangan orang lain kerana pasti ada kebaikan hasil buah fikiran orang ramai.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (para sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah kemaafan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran, ayat 159)

Allah SWT mengajar Rasulullah SAW mendapatkan pandangan sahabat dalam urusan penting yang menjadi antara sebab sahabat sentiasa mendampingi Baginda.

Orang yang tidak mahu mendengar pandangan orang lain adalah pemimpin yang sombong.

Apatah lagi sekiranya orang bawahan berasa takut menyatakan sesuatu pandangan lantas membiarkan diri dizalimi atas keputusan yang tidak me-
nyebelahi mereka.

Tidak ada cara lain untuk mendampingi orang di bawah melainkan membuka pintu untuk mereka memberi sumbangan idea.

Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan contoh kepimpinan terbaik. Baginda SAW adalah insan agung yang menerima wahyu petunjuk daripada Allah SWT.

Namun, Baginda tetap membuka ruang kepada sahabat menyuarakan pandangan sebelum membuat keputusan.

Malah, pandangan sahabat banyak yang diterima Rasulullah SAW. Antaranya, Baginda SAW menerima pandangan Abu Bakar as-Siddiq berkenaan tawanan Perang Badar yang dibebaskan selepas mereka membayar tebusan perang.

Selain itu, Rasulullah SAW turut menerima pandangan Salman al-Farisi untuk membuat parit bagi menghalang serangan musuh dalam Perang Khandak.

Itu semua adalah akhlak Rasulullah SAW sebagai seorang pemimpin yang mendengar dan menerima pandangan orang lain dalam membuat keputusan penting demi survival Islam.

Rasulullah SAW juga tidak pernah membeza-bezakan kedudukan sahabat tatkala berbincang bagi mendapat keputusan ramai.

Baginda meraikan pandangan sahabatnya selagi pandangan itu tidak merugikan umat Islam dan tidak bertentangan dengan wahyu Allah SWT.

Oleh itu, amat wajar bagi setiap pemimpin menyemarakkan budaya bertukar-tukar pandangan sesama individu dalam organisasi yang ditadbir supaya dapat menemui keputusan terbaik.

Mendengar pandangan orang bawahan tidak sesekali menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin, malah menampakkan sifat keterbukaannya.

Kadang-kadang ada pemimpin berasa dirinya tidak berkuasa jika mendengar pandangan orang bawahannya.

Bukankah pemimpin itu diangkat kerana adanya orang bawahan dalam organisasinya.

Tiada orang bawahan, maka tiadalah pemimpin berada di atas. Ingatlah, kedudukan di dunia juga tidak kekal selamanya.

Jadilah orang yang mudah menghargai, nescaya diri sendiri turut dihargai orang lain.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:52 AM