ISLAM mengemukakan jalan musyawarah sebagai langkah  membuat keputusan. FOTO AFP
ISLAM mengemukakan jalan musyawarah sebagai langkah membuat keputusan. FOTO AFP
Mohd Shahrizal Nasir

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan baru-baru ini membuktikan inisiatif murni Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memilih jalan musyawarah dalam mendepani situasi semasa negara. Seri Paduka mengambil pendekatan untuk mendengar pandangan daripada Raja-Raja Melayu meskipun segala keputusan yang dibuat berdasarkan kapasiti baginda sebagai ketua negara.

Usaha ini wajar dicontohi oleh semua pihak tatkala berdepan perkara melibatkan kepentingan ramai. Seorang ketua tidak boleh meminggirkan pandangan orang lain dalam kepemimpinannya kerana hal sedemikian bukan saja merugikan dirinya, tetapi juga orang ramai.

Ada sesetengah pemimpin melihat pendekatan mengambil pandangan orang lain akan menampakkan kelemahan dirinya sebagai seorang pemimpin. Ini pandangan yang silap kerana Islam mengajar umatnya untuk menjadikan musyawarah sebagai antara alternatif terbaik dalam urusan kepemimpinan.

Perkataan 'musyawarah' atau 'syura' sebenarnya sering kita dengar. Malah daripada ungkapan itu, timbul perkataan 'mesyuarat' dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu yang memanfaatkan perkataan asalnya daripada bahasa Arab.

Daripada sudut bahasa, seperti dinyatakan dalam Mu'jam Maqayis al-Lughah perkataan 'syura' bermaksud menampakkan dan memaparkan sesuatu atau mengambil sesuatu ketetapan. Daripada sudut istilah, pandangan beberapa ulama terdahulu seperti Ar-Raghib al-Ashfahani mendefinisikan 'syura' sebagai proses mengemukakan pendapat atau pandangan dengan saling menyaringnya antara orang yang terbabit dalam proses perbincangan.

Definisi itu jelas menunjukkan syura proses yang melibatkan ramai orang dengan masing-masing berusaha mencapai keputusan perbincangan terbaik. Syura perlu membabitkan orang yang mengetahui 'mauduk' perbincangan atau pakar dalam isu yang berbangkit. Ini kerana proses itu akan melibatkan usaha menyaring kepelbagaian pandangan untuk mencapai kesepakatan yang terbaik.

Mungkin ada keputusan musyawarah tidak menemui penyelesaian paling praktikal, namun dengan perbincangan kolektif, pastinya keputusan yang diperoleh menghampiri perkara yang paling baik. Inilah yang membuktikan urusan musyawarah membawa kepada perkara mendatangkan kebaikan kepada ramai orang. Contohnya, dalam hal keluarga, Islam mengemukakan jalan musyawarah sebagai langkah dalam membuat keputusan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran yang merujuk kepada urusan untuk menghentikan anak daripada menyusu sebelum berusia dua tahun.

"…Apabila kedua-duanya (ibu dan bapa bayi) ingin menyapih (menghentikan anak daripada menyusu sebelum dua tahun) dengan kerelaan kedua-duanya dan permusyawaratan (perbincangan) maka tidak ada dosa atas kedua-duanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." Surah al-Baqarah ayat 233

Lihatlah bagaimana Islam memberi panduan dalam memutuskan sesuatu perkara melibatkan beberapa pihak termasuk urusan rumah tangga. Keputusan menghentikan anak daripada menyusu perlu dibuat menerusi perbincangan melibatkan ibu dan bapa kepada si anak. Apabila kedua-dua orang tua bersepakat menerusi perbincangan, keputusan itu tidak mendatangkan dosa bagi kedua-duanya.

Begitu juga dalam hal melibatkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Urusan kehidupan bernegara melibatkan banyak pihak dan sesuatu keputusan perlulah dibuat dengan mengambil kira pandangan pihak berkaitan. Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW bermusyawarah dengan sahabatnya dalam setiap urusan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat daripada Allah maka kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu membulatkan tekad maka bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya." Surah Ali Imran ayat 159

Dalam urusan melibatkan kepentingan awam, Rasulullah SAW menunjukkan teladan yang amat wajar dicontohi. Baginda mendengar dan menerima pandangan terbaik yang dikemukan oleh sahabat. Rasulullah SAW pernah bermusyawarah dengan sahabat berkaitan strategi menghadapi musuh daripada kalangan kafir Quraisy ketika Perang Badar.

Begitu juga dalam persediaan menghadapi Perang Uhud, Rasulullah SAW mengadakan musyawarah dengan sahabat mengenai sama ada tentera Islam kekal berada dalam Madinah atau keluar menghadapi musuh di luar Madinah. Akhirnya pandangan majoriti diambil dengan tentera Islam berdepan musuh di luar kota Madinah pada Perang Uhud.

Meskipun Rasulullah SAW adalah utusan daripada Allah SWT dengan baginda selaku ketua negara Islam Madinah, baginda tetap mengadakan perbincangan dengan sahabat dalam mengambil keputusan melibatkan kepentingan awam. Pentadbiran Rasulullah SAW dipandu oleh wahyu Ilahi dan pandangan terbaik daripada kalangan sahabat yang sama-sama memperjuangkan Islam.

Tidak dinafikan kadangkala berlaku kesulitan dalam mendapat persetujuan majoriti membabitkan sesuatu isu yang dibincangkan dengan penglibatan pelbagai pihak. Bagaimanapun, kebijaksanaan seseorang pemimpin akan terserlah apabila berjaya memurnikan semua pandangan yang diberikan dan mengambil pandangan paling baik.

Pihak yang terlibat dalam perbincangan juga perlulah ikhlas dalam usaha mengutarakan pandangan. Setiap pandangan mestilah menjurus kepada usaha untuk sama-sama mendapat keputusan yang terbaik untuk kepentingan orang ramai. Orang yang mengambil kesempatan dalam urusan musyawarah biasanya tidak akan mendapat sokongan majoriti kerana mustahil kebatilan menenggelamkan kebenaran.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah memilih orang yang memiliki kemampuan terbaik untuk memberi pandangan. Ini tidak bermakna orang yang terlibat dalam musyawarah mesti daripada kalangan orang daripada kelompok yes man. Seorang pemimpin yang bijaksana perlu mengenal pasti individu yang memiliki kemampuan terbaik untuk mengeluarkan pandangan bernas dalam sesuatu isu. Tidak ada orang yang pakar dalam semua perkara, pilihlah orang yang berkelayakan dalam memberi nasihat.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang yang sepatutnya berada dekat dengan baginda dalam saf solat ialah kelompok yang terbaik. Ini boleh difahami sebagai keperluan agar seorang ketua (imam) didekati oleh orang yang terbaik agar dapat memberi manfaat termasuk sekiranya berlaku kesilapan atau kealpaan semasa solat. Sabda baginda SAW bermaksud: "Hendaklah yang dekat denganku (dalam saf solat) adalah mereka yang cerdas (baligh) dan berakal." Hadis Riwayat Muslim

Suburkanlah urusan melibatkan kepentingan orang ramai dengan memilih jalan musyawarah. Sesungguhnya dengan musyawarah, banyak perkara dapat diselesaikan secara cepat dan keputusan terbaik dapat dicapai secara kolektif. Urusan yang dilakukan secara berjemaah jauh lebih baik daripada urusan yang sama jika dilakukan bersendirian.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:10 AM