Kembara Mukmin

Sikap sentiasa gembira, ceria dan mampu meng-ungkapkan kata-kata baik sangat dianjurkan buat setiap Mus lim ketika berbicara dengan orang lain.

Apabila sikap itu dapat diterjemahkan dalam kehidupan bererti kita sudah memenuhi seruan Allah SWT.

Daripada Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sesekali kali menganggap remeh sesuatu kebajikan, meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika kamu bertemu dengan kawanmu.” (Sahih Muslim)

Dalam Surah al-Hijr, ayat 88 yang bermaksud: “Dan sebaliknya hendaklah engkau merendahkan diri kepada orang yang beriman.”

Sebenarnya mempamerkan wajah ceria serta berkata perkara baik termasuk juga dalam kategori sedekah.

Itu bermakna sedekah dalam Islam sangat luas pengertiannya dan tidak terbatas pada harta semata-mata.

Wajah Nabi Muhammad SAW sentiasa kelihatan ceria dengan senyuman.

Orang Arab amat suka memuji orang lain dengan sebutan ‘Dhahukus-Sinni’ bermakna orang yang suka ketawa hingga terlihat gigi putihnya serta mereka juga sangat gembira apabila didatangi tetamu.

Saidatina Aisyah berkata, “Apabila Nabi Muhammad SAW berada di rumah, Bagindalah orang yang paling murah dengan senyuman dan tawa.”

Sebahagian sahabat mengatakan, tawa Rasulullah SAW hanya sebatas senyuman, namun sebahagian lain mengisahkan kadang-kadang Baginda ketawa hingga terlihat gigi gerahamnya.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Orang yang tidak gembira dan tidak membuat orang lain gembira adalah orang yang tidak memiliki kebaikan.” (Nihaayatul-Irbi, 4/1)

Apa yang jelas, ketika Baginda ketawa, Baginda selalu menutup mulutnya dengan telapak tangannya.

Walaupun Baginda kerap bergurau, namun ia tetap dalam batasan dan tidak mengandungi pembohongan.

Kebanyakan gurauan Baginda adalah bersifat kiasan dan permainan kata-kata.

Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang wanita. Pada satu hari wanita itu datang menghadap Baginda dan berkata, “Wahai Rasulullah. Mohon bantu saya menaiki unta.”

Rasulullah SAW menjawab: “Saya akan bantu kamu menaiki anak unta.” Wanita itu hairan dan berkata, “Apa yang dapat saya buat dengan anak unta? Anak unta tidak mungkin dapat saya tunggang.”

Rasulullah SAW pun menjawab: “Bukankah setiap unta itu asalnya anak unta?”

Selain itu, pada lain kesempatan, ada seorang wanita tua daripada kaum Ansar menghadap Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya mohon tuan berdoa kepada Allah SWT supaya saya masuk syurga.”

Rasulullah SAW menjawab: “Tidakkah kamu tahu syurga tidak dihuni orang-orang yang sudah tua?”

Mendengar sabda Rasulullah SAW itu menyebabkan wanita itu menangis. Melihat keadaan itu, Rasulullah SAW tersenyum dan bersabda yang bermaksud: “Bukankah kamu pernah membaca firman Allah SWT: ‘Sesungguhnya Kami menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waaqi’ah, ayat 35-37)

Jelas kepada kita, keceriaan dan gurauan yang Baginda pamerkan tidak menyebabkan kehormatannya berkurangan, bahkan karismanya semakin terserlah sehingga semakin ramai orang menghormati dan mencintainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 10:31 AM